Khamis, 29 Jun 2017

Selangor tersingkir



ARKIB : 30/07/2006

KUALA LUMPUR – Selangor gagal mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia apabila tersingkir daripada persaingan ke suku akhir biarpun mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sabah dalam perlawanan terakhir kumpulan, semalam.

Pencabar utama Selangor dalam kumpulan A, Terengganu seri 3-3 dengan Negeri Sembilan Naza di Kuala Terengganu dan satu mata yang dikutip itu cukup berharga buat skuad Penyu untuk melangkah ke suku akhir.

Selepas aksi terakhir itu, Selangor dan Terengganu berkongsi 10 mata tetapi Terengganu mara berdasarkan perbezaan jaringan.

Negeri Sembilan Naza muncul juara kumpulan dengan 11 mata.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, tiga gol Terengganu dihasilkan oleh Sharlei Minh Miranda (26) dan dua gol dari Rosairil Asrul Matnor (66, 85).

Gol NS Naza pula dijaringkan oleh Hishamuddin Hassan (10) dan Christian Bekamengo (44, 64).

Di Stadium KLFA, Cheras, K. Rajan membuka jaringan untuk Selangor seawal minit kedua dan menambah lagi gol kedua peribadinya pada minit ke-19 sebelum Perica Ognejovic menambah gol ketiga minit ke-55.

Gol tunggal Sabah dijaringkan oleh Deddy Olicheh minit ke-46.

Pulau Pinang E&O turut layak ke suku akhir selepas seri 1-1 dengan Telekom Melaka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, menyingkir Kedah di tempat ketiga kumpulan biarpun Kenari menang 4-2 ke atas Johor FC di Alor Star.

Gol penyamaan Pulau Pinang dijaringkan oleh Brezenec Sasa (48) selepas Telekom membuka jaringan menerusi Zainuddin Ariffin (20).

Dalam Kumpulan D, MPPJ mengesahkan tempat ke suku akhir setelah seri tanpa jaringan dengan Perak dalam perlawanan di Stadium Perak di Ipoh.

MPPJ mengumpul lapan mata untuk berada di tempat kedua dengan lapan mata selepas pencabarnya, Brunei DPMM turut seri 3-3 dengan Melaka di Stadium Hang Jebat.

Perak muncul juara dengan mengumpul 14 mata.

Dalam aksi Kumpulan C, Perlis mengesahkan tempat selaku juara kumpulan selepas perlawanan di Stadium Utama, Kangar menentang Sarawak berkesudahan seri tanpa jaringan.

Satu lagi perlawanan kumpulan itu antara Pahang dan PKNS yang masing-masing sudah terkeluar daripada saingan ke suku akhir sekadar berkeputusan seri 2-2.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4lNixzkWh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan