Jumaat, 7 Julai 2017

Telekom terlalu hampir



 
ARKIB : 07/08/2006
Ads by Kiosked
Telekom terlalu hampir

Oleh AMRAN MULUP
Penjaga gol Sarawak, Ishak Majali (tiga dari kanan) menghalang asakan pemain import Negeri Sembilan, Christian Bekamengo (jersi merah) sewaktu aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Paroi, Seremban, kelmarin yang berkesudahan seri 1-1.


KUALA LUMPUR – Selangkah kaki Telekom Melaka sudah ke separuh akhir hanya menanti baki 90 minit lagi untuk memastikan impian tersebut menjadi realiti.

Kemenangan Telekom Melaka menewaskan MPPJ 3-0 menjadi suntikan semangat tetapi ia belum melegakan jurulatih, Irfan Bakti menjelang pertemuan suku akhir kedua di Stadium Petaling Jaya, Sabtu ini.

Buat Irfan, baki 90 minit apabila bertandang di gelanggang lawan boleh mengubah dan memadamkan kelebihan tiga jaringan serta menutup terus peluang Telekom untuk mencipta sejarah.

Tanpa mahu memikirkan peluang ke perlawanan akhir, Irfan tampak lebih bimbang dengan kelebihan tiga jaringan membawa bekalan berdepan MPPJ Sabtu ini.

‘‘Berbekalkan tiga gol belum melegakan kerana masih ada baki 90 minit perlu dilalui dan tempoh itu boleh mengubah segala-galanya dalam sekelip mata.

‘‘Keadaan ini yang benar-benar membimbangkan saya, paling penting saya tidak mahu pemain berasa terlalu selesa dan optimis sudah layak ke separuh akhir,’’ ujar Irfan ketika dihubungi semalam.

Telekom mencerahkan laluan ke separuh akhir apabila tiga gol jaringan Chaswe Nsofwa (18), Mohd. Hardi Jaafar (32) dan Rudie Ramli (73) menewaskan MPPJ 3-0 di Stadium Hang Jebat, kelmarin.

Kemenangan pertama di gelanggang sendiri buat Telekom dalam tempoh lima bulan memberi petanda peluang untuk ke separuh akhir.

Irfan menegaskan pertemuan dengan MPPJ hujung minggu ini, beliau akan tetap mengekalkan corak permainan yang sama.

‘‘Saya sama sekali tidak akan turun berdepan MPPJ dengan corak untuk bertahan semata-mata kerana ini boleh membawa padah.

‘‘Lebih melegakan saya tidak ada pemain utama digantung perlawanan atau ditimpa kecederaan dan inilah peluang untuk menurunkan kesebelasan terbaik,’’ ujarnya.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut Irfan berkata, ia berpunca daripada kekuatan bermain sebagai satu berpasukan dan semangat juang tinggi pemain.

Ujarnya, pada tempoh 15 minit pertama benteng pertahanan Telekom goyah dengan penguasaan penuh MPPJ.

Tetapi katanya, pemain dapat mengimbangi corak permainan MPPJ dan rangkaian serangan bijak menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol.’

Kemenangan itu buat Irfan menyemarakkan semangat juang yang lebih padu buat pemain selain untuk mengekalkan kelebihan tiga jaringan dan memahatkan kemenangan kedua ke atas MPPJ

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4mAERbWX2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan