17 Oktober 2016 12:31 AM
PENYERANG TFC II, Patrick Dos Santos (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Selangor Mohd. Rizal Fahmi Ab Rosid (kiri) dan Ugochukwu Ukah dalam separuh akhir Piala Malaysia di Kuala Terengganu, kelmarin. BERNAMA
KUALA TERENGGANU 16 Okt. – Setelah untung rugi kewujudan pasukan Terengganu FC II (TFC II) dicongak pada setiap hujung musim, kerajaan negeri akhirnya memberi jaminan, pasukan itu tidak akan dibubarkan.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pasukan bertaraf kelab yang dahulunya dianggap ‘adik’ kepada Terengganu FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bagaimanapun menunjukkan prestasi lebih membanggakan daripada skuad utama.
Malah kerajaan negeri berhasrat memantapkan lagi pasukan itu, namun tanpa melibatkan perubahan besar berbanding rombakan yang akan dibuat terhadap Terengganu FC.
“Walaupun tidak berjaya mencipta sejarah mara ke final Piala Malaysia, kita puas hati dengan corak permainan dan semangat juang yang begitu tinggi.
“Maka skuad ini perlu dikekalkan, malah kami akan memastikan ia diberi peluang dan diperkemaskan lagi bagi mengadapi saingan musim depan.
“Bagi Terengganu FC, rombakan akan dibuat dan kita sedang mengadakan perbincangan dengan Irfan Bakti. Kita mahu selepas ini skuad Penyu diberi suntikan baharu dan dapat bermain dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyaksikan aksi separuh akhir Piala Malaysia, TFC II menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam.
Dalam perlawanan itu, TFC II gagal membuat kejutan di hadapan lebih 10,000 penonton di sini setelah tewas 0-3 kepada juara bertahan, Selangor.
Ahmad Razif menarik perhatian, rombakan Terengganu FC akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan kini dalam proses perbincangan terakhir dengan Irfan bagi kerusi jurulatih.
“Kita mahu melihat Terengganu FC berwajah baharu, pasukan yang telah dibuat transformasi. Langkah ini mustahak untuk mengembalikan kegemilangan skuad pada musim akan datang malah saya juga sudah minta Rozi mengenalpasti pemain-pemain yang perlu kita cari,” katanya.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 17 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan