T-TEAM tekad bangkit di laman sendiri.
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pengendali T-Team Rahmad Darmawan tidak berminat untuk bercakap mengenai kelebihan satu jaringan Selangor sebaliknya kini beliau lebih fokus mengadun resipi terbaik untuk menumbangkan juara bertahan itu pada separuh akhir kedua dalam misi mencipta sejarah melangkah ke final Piala Malaysia buat julung kali.
Rahmad yang optimis pemainnya mampu menundukkan juara 33 kali Piala Malaysia itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah mengakui beliau bersama barisan kejurulatihan kini sedang melakukan persiapan rapi walaupun perlawanan kedua masih panjang iaitu pada 15 Oktober ini.
“Kami yakin pemain mampu bangkit memadam kelebihan satu jaringan Selangor dalam aksi timbal balik nanti untuk menempah tiket ke final apatah lagi bakal beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu daripada penyokong sendiri.
“Selain itu berdasarkan aksi yang dipamerkan pemain pada separuh akhir pertama itu, T-Team dilihat mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri dan mampu mengalahkan juara bertahan itu,” kata Rahmad.
Pada aksi Sabtu lalu, Rahmad yang turut diintai pasukan kebangsaan Indonesia mengakui bangga dengan prestasi yang diperagakan anak buahnya terutama pada babak pertama hingga berjaya meledak jaringan pendahuluan melalui sepakan penalti Patrick Dos Santos Cruz.
Bagaimanapun beliau yang menolak tawaran untuk melatih skuad Garuda itu musim depan sedikit hampa dengan aksi pemainnya pada babak kedua hingga membenarkan lawan menguasai sebelum pulang hampa 1-2.
Mengulas lanjut, jurulatih berusia 49 tahun itu yang terkejut dengan corak kurang bertenaga pemainnya pada babak kedua akan menerapkan strategi lebih ampuh pada aksi kedua nanti di Kuala Terengganu.
“Dengan kehadiran semula pemain tengah Dilshod Sharofetdinov jentera tengah pasti lebih menyerlah dan saya mahukan pemain yang akan diturunkan dalam aksi kedua nanti perlu lebih berani mengawal bola dengan corak hantaran dekat dan lebih fokus serta tidak melakukan kesilapan mudah yang mungkin boleh membawa padah dalam aksi penting itu.”
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:24 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan