16 OKTOBER 2016
t-team
"GOL awal Selangor
merentap semangat pemain saya," akui pengendali T-Team, Rachmad Darmawan
selepas pasukannya tewas 0-3 pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam
tadi.
Jurulatih berasal dari Lampung,
Indonesia itu berkata jaringan R Gopinathan seawal minit ketiga memberi tekanan
kepada anak buahnya yang cuba bangkit daripada defisit 1-2 selepas tewas pada
separuh akhir pertama.
"Kami bermula dengan
terlalu berhati-hati...bila kita mula sedar sekali lagi dikejutkan dengan
jaringan kedua lawan," katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, dekat sini, malam tadi.
Rachmad berkata, perbezaan
pengalaman tidak banyak mempengaruhi permainan namun corak berhati-hati yang
dipamerkan anak buahnya menjadi punca kekalahan itu.
"Lihat pergerakan pemain
pada awal permainan, mereka sangat hati-hati, takut untuk lepaskan bola ke
depan. Semuanya cuba untuk bertahan dan Selangor terus memberi tekanan kepada
kita," katanya.
Selangor menang 3-0 menerusi
jaringan Gopinathan diikuti gol Ugochukwu Ukah pada minit ke-19 dan Andik
Vermansah pada minit terakhir perlawanan, sekali gus mara ke final dengan
agregat 5-1 untuk bertemu Kedah yang layak dengan agregat 2-1 selepas seri 0-0
dengan Polis Diraja Malaysia, malam tadi.
Rachmad berkata pemainnya juga
gagal menyerap serangan bertubi-tubi skuad Gergasi Merah yang tampil garang
sejak awal perlawanan.
"Pemain cuba bangkit dan
mula mengatur serangan bagi mendapatkan jaringan tetapi tetap tidak
berhasil," katanya.
Beliau turut mengakui penjaga
gol Selangor Mohd Khairul Azhan beraksi dengan cemerlang dan beberapa
pergerakan yang cuba dihasilkan pemainnya, sering dapat dipatahkannya. -
Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN 16 OKTOBER
2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan