ARKIB : 23/09/1998
KEMUNCAK kempen Piala Malaysia
Edisi Ke-32 bakal berlangsung Sabtu ini, cuba mencuri perhatian ketika rakyat
Malaysia masih segar dihidangkan aksi menarik dalam temasya Sukan Komanwel XVI
(KL '98) yang melabuhkan tirai kelmarin, lapor AMRAN MULUP.
Kancah kali ini disifatkan
tiada serinya tanpa kehadiran juara tiga musim berturut-turut Selangor yang
terpinggir kemaraannya musim ini.
Ketiadaan Selangor, pasukan
yang penuh dengan tradisi sejarah silam menjulang Piala Malaysia menghuraikan
betapa saingan kali ini tiada yang boleh mendabik dada.
Kempen kali ini dianggap paling
menarik dengan perlawanan akhir pada 5 Disember bakal dilangsungkan di Stadium
Nasional Bukit Jalil. Perlawanan separuh akhir timbal balik diadakan pada 21
dan 28 November.
Pertemuan Sabtu ini menyaksikan
Terengganu memulakan kempen pertama menentang Kedah di gelanggang sendiri dan
Pulau Pinang pula menerima kedatangan Negeri Sembilan dalam kumpulan A.
Manakala dalam kumpulan B pula,
semi finalis musim lalu Brunei akan menanti kehadiran juara Piala Sumbangsih,
Sarawak di Stadium Negara Hasanal Bolkiah dan di Stadium Likas pula Sabah
bertemu Perak.
Tumpuan kali ini lebih terbuka
ketika pasukan dalam kumpulan A dianggap memiliki peluang yang seimbang yang
dibarisi oleh juara Perdana Satu Pulau Pinang, juara Perdana Dua Terengganu,
Kedah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Manakala dalam kumpulan B lebih
menjurus kepada saingan paling sengit dengan tiga wakil dari Borneo iaitu
Sarawak, Sabah dan Brunei diletakan bersama-sama Pahang dan Perak.
Pulau Pinang yang masih segar
atas kejayaan merangkul gelaran liga menghadapi laluan seimbang dalam usaha
untuk mencipta kejayaan berganda.
Namun saingannya Pahang yang
terlepas peluang mengamit gelaran itu sekadar lega dengan naib juara liga,
menghadapi tugas paling rumit berada dalam kumpulan B.
Berdepan dengan tiga wakil
Borneo menyeberangi Laut China Selatan pastinya begitu meletihkan buat Pahang
apa lagi Brunei lawan yang nyaris-nyaris menafikan peluang skuad Tok Gajah
dalam separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.
Selaku naib juara Piala
Malaysia musim lalu (tewas kepada Selangor 1-0) bukan bermakna kebal buat
Pahang, yang berdepan dengan naib juara Piala FA, Sabah dan Sarawak.
Perak pula yang layak ke Piala
Malaysia meneruskan kecemerlangan pasukan yang paling berjaya sukar untuk
diramalkan peluang mereka untuk ke separuh akhir.
Bagi Pulau Pinang, mereka perlu
berdepan dengan Kedah, Terengganu, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Kesemua
lawan mereka dianggap seimbang.
Namun kehadiran juara Perdana
Dua, Terengganu seharusnya menjadi intipan utama Pulau Pinang. Begitu juga
dengan skuad Hijau Kuning.
Reputasi Kedah tetap menjadi
ancaman yang digeruni oleh Pulau Pinang apa lagi arkitek utama Terengganu,
Abdul Rahman Ibrahim boleh menjadi halangan utama.
Manakala Kuala Lumpur dan
Negeri Sembilan pula yang layak selepas berhempas pulas melepasi halangan
play-off dianggap pasukan yang kurang konsisten.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4LtBnOvcS©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan