Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan ARDIE
PUTRA SUHAIMI
DURAKOVIC tidak mahu Selangor dilabel
sebagai pasukan pilihan pada final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium
Shah Alam malam ini.
“KAMI bukan pasukan pilihan, namun
berjanji akan melakukan yang terbaik untuk menjulang Piala Malaysia musim
ini.”
Demikian tegas jurulatih Selangor, Mehmet
Durakovic semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 menentang
Kedah di Stadium Shah Alam malam ini.
Begitupun, Mehmet mengakui bahawa skuad
Gergasi Merah tidak rela kempunan untuk menjulang Piala Malaysia selepas kali
terakhir memenanginya 10 tahun lalu.
Kini, Selangor berada di landasan terbaik
untuk menamatkan ‘Misi 33’ selaras dengan simbolik skuad Gergasi Merah yang
muncul pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia apabila memenangi
trofi tersebut sebanyak 32 kali sejak diperkenalkan pada tahun 1921.
“Sejujurnya, tiada sesiapa memberikan
harapan kepada pasukan kami pada tahun ini untuk layak ke peringkat separuh
akhir atau final dan saya berpendapat Selangor bukanlah pasukan pilihan meskipun
bermain di gelanggang sendiri.
“Saya sekali lagi menegaskan bahawa
Selangor bukan pasukan pilihan kerana pasukan yang berjaya mempamerkan taktik
terbaik esok (malam ini) akan muncul sebagai pemenang.
“Kami juga memerlukan sedikit tuah selain
mengharapkan fokus pasukan saya tidak akan terjejas dalam tempoh 90 minit dan
kami tidak memiliki pemain-pemain bertaraf bintang.
“Atas faktor tersebut, maka Selangor tidak
boleh dilabel sebagai pasukan pilihan tetapi saya mahu mengambil kesempatan
memuji anak-anak buah saya atas prestasi cemerlang mereka kebelakangan ini,”
kata Durakovic pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.
Dalam perkembangan sama, Durakovic
mengakui aksi klasik final menentang Kedah ini menjadi salah satu perlawanan
emosi buat dirinya kerana dia pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga
kali ketika bergelar sebagai pemain dengan pasukan Selangor sebelum ini.
“Sebenarnya, ‘darah’ Selangor mengalir di
dalam tubuh badan saya. Saya pernah menjadi kapten pasukan ini dan berjaya
memenangi Piala Malaysia tiga kali berturut-turut.
“Jika saya berjaya menjulang Piala
Malaysia sebagai jurulatih, ia umpama mimpi menjadi kenyataan kerana keluarga
saya turut hadir dari Australia semata-mata mahu menyaksikan detik sejarah
dalam karier saya.
“Selain itu, kami juga mahu menang untuk
keluarga, Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) serta
penyokong-penyokong yang telah menanti selama 10 tahun apabila kali terakhir
Selangor menjulang Piala Malaysia pada tahun 2005,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3u5bDhBcx
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan