T-Team tekad benam Felda United Sabtu ini
13 SEPTEMBER 2016
t-team
PASUKAN T-Team tekad menampilkan aksi terbaik untuk melakar kemenangan ke atas Felda United pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia walaupun sedar ia bukan tugas yang mudah.
Skuad bimbingan Rachmad Darmawan itu perlu konsisten mencipta kemenangan sekali gus mara ke separuh akhir, biarpun terpaksa beraksi di tempat lawan Sabtu ini.
Rachmad percaya anak buahnya mampu melakar kemenangan jika mereka dapat mengekalkan corak permainan sepertimana ditampilkan pada suku akhir pertama sebelum ini, serta dalam saingan Liga Super berdepan pasukan lawan itu, Sabtu lepas.
Beliau berkata corak permainan yang konsisten daripada pemain amat ditagih sepanjang perlawanan itu, malah mereka juga perlu menyekat jentera serangan pasukan lawan untuk menjaringkan gol.
"Kita bukan sahaja perlu melakar kemenangan dengan kelebihan jaringan tetapi matlamat utama kita adalah untuk menyekat skuad kendalian Ifran Bakti Abu Salim itu daripada melakukan jaringan.
"Kita akui ia bukan mudah, namun kita akan lakukan yang terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya," kata beliau kepada pemberita di sini.
Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 28 Ogos lepas, kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Dalam pada itu, Rachmad berharap kemenangan 3-2 ke atas Felda United dalam saingan Liga Super, Sabtu lepas, akan membakar semangat pemain untuk terus mencipta kemenangan terhadap pasukan lawan itu dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia nanti. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN OMLINE 13 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan