Rabu, 14 September 2016

FAM diminta longgar syarat

ARKIB : 08/08/1998
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta memberikan kelonggaran kepada pasukan-pasukan yang layak ke Piala Malaysia untuk menggunakan khidmat pemain daripada skuad yang tersingkir bagi merancakkan lagi perebutan piala berprestij itu musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad, memberitahu, permintaan tersebut dapat memastikan saingan merebut Piala Malaysia menjadi lebih sengit.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berkata, pihaknya akan mengemukakan permintaan tersebut secepat mungkin sebelum bermulanya saingan Piala Malaysia.

''Satakat ini, kebenaran hanya diberikan pasukan yang layak ke Piala Malaysia untuk membuat rombakan membabitkan pemain import atau liga simpanan.

''Kali ini, FAM diminta memberikan pertimbangan supaya kita dapat menggunakan khidmat pemain daripada skuad yang sudah tersingkir dalam persaingan Piala Malaysia mewakili pasukan baru,'' kata Dr. Ibrahim, di Pulau Pinang, semalam.

Ditanya tentang keinginan Pulau Pinang mendapatkan pemain baru untuk saingan Piala Malaysia, beliau berkata, tindakan ''membeli'' pemain baru itu bukannya disebabkan FAP tidak berpuas hati dengan pemain skuad Harimau Kumbang yang muncul juara liga.

''Kita berpuas hati dengan kesemua pemain yang membuktikan kesungguhan sehingga mampu meraih Piala Liga, tetapi perubahan kadang kala perlu persiapan menghadapi Piala Malaysia.

''Kita perlu memperkukuhkan sesebuah pasukan sewaktu ia kuat, bukannya ketika diambang kemerosotan sehingga menurun ke tahap paling teruk,'' tambah beliau.

Dr. Ibrahim turut menjelaskan bahawa ganjaran lebih besar menanti pemain Pulau Pinang sekiranya mereka berjaya mencipta kejayaan lebih besar seperti merangkul Piala Malaysia.

Menurut beliau, antaranya, FAP sedang mengkaji kemungkinan membawa pemain ke luar negara untuk mengadakan latihan atau perlawanan persahabatan sebagai hadiah kepada jika sasaran Pulau Pinang berjaya dicapai.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KEo1y3KF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan