ARKIB : 11/10/1998
PEMAIN Pulau Pinang, Riyadh
Abas cuba melepasi benteng pertahanan Terengganu, Jean Nyima (kiri) dalam
perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala
Terengganu, malam tadi. Terengganu menang 2-0.
JUARA Liga Perdana Satu, Pulau
Pinang terpaksa akur kepada Juara Liga Perdana Dua, Terengganu apabila tewas
0-2 pada pertemuan bersejarah antara dua jaguh itu dalam Piala Malaysia di
Stadium Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Kedua-dua pasukan yang turun
beraksi bagi menentukan pencapaian rekod tersendiri mampu memperlihatkan aksi
hebat dengan saling mengasak ke kubu lawan dari mula perlawanan hingga akhir.
Pemain import sensasi skuad
Penyu, Seidu Issiffu yang sebelum perlawanan dianugerahkan kasut emas sebagai
penjaring terbanyak (10 gol) setakat ini disifatkan sebagai suntikan semangat
untuk menjaringkan gol permulaan Terengganu minit ke- 35.
Kesebelasan pemain Terengganu
yang 'bergaya' di depan lebih 10,000 penonton mula mengasak mencari sasaran
seawal minit permainan dengan beberapa membuat percubaan.
Pada minit ke-35, para pemain
pelawat seolah-olah terkedu dengan jaringan pertama Terengganu menerusi Issifu
yang membawa bola sendirian dari kawasan tengah padang sebelum merembat kencang
menewaskan penjaga gawang Pulau Pinang, Ahmad Sobri Ismail.
Permainan semakin hebat dengan
kedua-dua penyerang saling mengasak dan Terengganu sekali lagi hampir menambah
gol hasil tandukan Badrul Afzan yang menerima hantaran Anuar Jusoh.
Separuh masa kedua bermula
menyaksikan skuad Harimau Kumbang bertindak lebih garang dan seawal minit
pertama penonton tempatan dikejutkan dengan Nordin Khamis merembat kencang ke
gawang tuan rumah tetapi tidak menepati sasaran.
Terengganu yang merasakan
kurang selesa dengan kedudukan jaringan terus berhempas pulas mencari gol dan
pada minit ke-51 Samuel Cheblee nyaris-nyaris menanduk masuk bola namun Ahmad
Sobri ternyata lebih bernasib baik.
Bagaimanapun nasib malang Pulau
Pinang yang mungkin terkena badi kekalahan dengan Kuala Lumpur 0-1 di tempat
sendiri tempoh hari sekali lagi tersentak dengan jaringan kedua Terengganu menerusi
Sapian Wahid di minit ke-61.
Pasukan pelawat yang masih
enggan menyerah kalah membuat pertukaran pemain memasukkan G. Shanmugam dan Ng
Kok Heng bagi menggantikan Riyadh Abbas dan Fauzi Soh.
Namun nasib tidak menyebelahi
pasukan Harimau Kumbang itu sebaliknya semangat pemain tuan rumah terus marak
untuk menambah jaringan sehinggalah perlawanan berkesudahan dengan Terengganu
menang 2-0.
SEMENTARA di Stadium Hasanal
Bolkiah, Brunei menumpaskan Sabah 2-1 untuk mencerahkan peluangnya ke separuh
akhir.
Gol-gol Brunei dijaringkan oleh
Patron Akapo pada minit ke-15 dan Irwan Mohd. seminit selepas separuh masa
kedua dimulakan.
Pasukan pelawat merapatkan
kedudukan menerusi bekas pemain kebangsaan, Suharmin Yusof pada minit ke-65.
Kemenangan tipis Brunei itu
membuktikan peningkatan mendadak mereka, sebagaimana ketika mengekang Pahang
4-4 di gelanggang lawan minggu lalu, sekalipun ketinggalan jauh.
Namun begitu, Sabah masih lagi
menerajui Kumpulan B, dengan kelebihan jaringan dan bilangan gol yang
dilepaskan. Kedua-dua pasukan terikat tujuh mata
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4P60tpiKt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan