Jumaat, 4 November 2016

Kuala Lumpur ranapkan impian Kedah untuk mara

ARKIB : 18/10/1998
KUALA LUMPUR meranapkan impian Kedah untuk mara ke separuh akhir apabila berjaya mengalahkan skuad Hijau Kuning itu 2-1 pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi, lapor YUSRI SAHAT.

Kedah yang bermain dengan sepuluh orang selepas Roslan Abdul Rahim diarah keluar padang pada minit ke-52 gagal mengekang kemaraan Kuala Lumpur yang begitu ampuh pada jentera serangannya.

Gol-gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh G. Muthu pada minit ke 21 dan S. Paidiya Rau memastikan kemenangan pada minit ke 77 manakala gol tunggal Kedah dihasilkan oleh Zulfatah Dzulkarnain (54).

Rentak perlawanan pada awal permainan begitu hambar apabila kedua-dua pasukan lebih banyak bermain secara defensif dan hanya sekali-sekala melakukan serangan.

Tuan rumah yang kurang bermaya bermain di hadapan 2,000 penyokongnya akhirnya tersentak apabila pasukan pelawat berjaya membolosi gawang pada minit ke 21 untuk gol pertama.

Gol tersebut berpunca daripada kesilapan Kane Mamadou Mariyam yang terlepas bola dari kaki lalu disambar oleh Paidiya Rau untuk memberi ruang kepada G. Muthu merobek gawang Kenari.

Ekoran daripada itu, Kedah menggandakan asakan ke kubu lawan dengan harapan untuk menyamakan kedudukan bagi mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, hijau kuning yang menurunkan kesemua pemain importnya masih gagal melakukan sesuatu sebaliknya Kuala Lumpur yang disuntik dengan gol semangat itu bertindak lebih agresif.

Kedah hampir sekali lagi dimalukan pada minit ke 51 apabila sepakan G. Muthu yang meluru ke arah gol berjaya ditampan oleh Roslan Abdul Rahim.

Bagaimanapun, malang menimpa Kedah kerana terpaksa bermain dengan sepuluh pemain selepas Roslan dilayangkan kad merah kerana mengkasari pemain Kuala Lumpur, Abdul Ghani Malik seminit kemudian.

Kehilangan seorang pemain tidak mengugat jentera serangan Kedah sebaliknya berjaya menyamakan kedudukan pada ke 54 menerusi penyerang, Zulfatah Dzulkarnain.

Gol diperolehi akibat daripada kelalaian pertahanan Kuala Lumpur yang menampan bola lalu disambar oleh Zulfatah untuk melakukan satu rembatan kencang menewaskan Azmin Azram Aziz.

Kuala Lumpur pula menggunakan kesempatan terhadap kekurangan Kedah untuk menambah jaringan pada minit ke 77 melalui Paidiya.

Paidiya tidak mengalami kesukaran untuk mendapatkan gol kerana tidak ada seorang pun pemain Kedah yang cuba menghalang Paidiya untuk memastikan Kuala Lumpur pulang dengan tiga mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4P6wMK6dN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan