ARKIB : 03/12/1998
DEMAM perlawanan akhir Piala
Malaysia antara Terengganu dengan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil 12
Disember ini kian terasa dan pelbagai pihak khususnya pasukan yang bertanding
menyusun langkah bagi menghangatkan lagi suasana.
Kelab Penyokong Bola Sepak
Terengganu (Peteh) mengambil inisiatif menyediakan kain rentang 'gergasi' untuk
ditanda tangani para pemain skuad Penyu, semua pegawai Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT) dan
Kain rentang itu yang akan
ditulis perkataan berwarna hitam 'Terengganu Boleh' dengan berlatar belakangkan
putih bertepatan konsep warna rasmi skuad Penyu (Hitam Putih) dijangka dibuat
minggu depan.
Presiden Peteh, Tengku Farok
Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, setelah siap, kain rentang itu terlebih
dahulu dibawa kepada semua pemain Terengganu, pengurus dan semua pegawai
pasukan untuk menurunkan tandatangan.
''Selepas itu kita akan
membawanya (kain rentang) ke tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti perhentian
bas, Pantai Batu Buruk dan di padang semasa sesi latihan skuad Terengganu untuk
ditanda- tangani oleh orang ramai,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.
Sementara itu, Tengku Farok
Hussin berkata, pihaknya telah menempah 15 buah bas bagi membolehkan kira-kira
1,000 para peminat bola sepak tempatan berpeluang bertandang ke Stadium
Nasional untuk menyaksikan perlawanan akhir nanti.
Menurutnya, sehingga kini lapan
buah bas telah siap ditempah manakala bakinya sedang dalam proses.
''Kita sedang mencari penumpang
lain untuk menaiki tujuh lagi bas yang akan disediakan dan setiap penumpang
dikenakan bayaran antara RM60 hingga RM65,'' katanya.
Beliau berkata, selain kesemua
15 bas kendalian Peteh, terdapat lagi perkhidmatan bas yang disewa khas secara persendirian
di daerah lain untuk turut sama menyaksikan perlawanan bersejarah di Bukit
Jalil.
Bas Peteh itu dijangka bertolak
ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 12 tengah malam hari Jumaat (11 Disember) dan
pulang ke Terengganu selesai sahaja perlawanan akhir pada keesokannya.
Sementara itu, Bernama
melaporkan, kira-kira 50,000 peminat bola sepak di negeri Perak dan di Lembah
Klang dijangka membanjiri Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menyaksikan
perlawanan akhir Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu.
Pengurus Pasukan Bola Sepak
Perak, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, harga tiket bernilai RM10,
RM30 dan RM50 akan dijual di Stadium Perak, esok.
Para peminat dan penyokong yang
ingin mendapatkan maklumat dan ingin mengikuti rombongan menyaksikan perlawanan
tersebut boleh menghubungi kelab peminat di talian 012-5384777 dan Kelab
Penyokong di nombor telefon 019-5106107.
Sebanyak 100 buah bas akan
disediakan bagi membawa para peminat dan penyokong pasukan Perak ke perlawanan
akhir itu, katanya di Ipoh, semalam.
Perak menumpaskan Negeri
Sembilan 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua, dengan jaringan pada minit
ke- 97.
Oleh: RADHUAN HUSSAIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PbfZZ78J
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan