Sabtu, 5 November 2016

Saingan masih terbuka -- Pusingan kedua bermula Sabtu ini

ARKIB : 19/10/1998
PEMAIN Perak, Azrul Amri Burhan (kanan) melepaskan rembatan sambil cuba dihalang oleh salah seorang pemain Brunei pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Perak, kelmarin. Perak menang 2-1.

REKOD tanpa kalah Terengganu dan Brunei sudah dicalarkan kelmarin sekali gus mencetuskan saingan sengit berterusan selepas kempen Piala Malaysia menamatkan cabaran pusingan pertama.

Kini kancah yang masuk ke pusingan kedua Sabtu ini menjadi percaturan penting bakal menentukan empat pasukan yang akan layak ke separuh akhir selain memburu tempat ke akhir 5 Disember ini.

Pelantikan jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim selaku jurulatih kebangsaan, gagal menyuntik semangat membara sebaliknya membiarkan Negeri Sembilan mengganas di Paroi.

Terengganu rebah 3-0 kepada Negeri Sembilan di Paroi manakala Brunei tumpas 2-1 kepada Perak di gelanggang lawan, membuka ruang lebih terbuka dalam memburu tempat ke separuh akhir.

Naib juara tahun lalu, Pahang dan Kedah semakin hampir merintis jalan keluar ketika pasukan lain bersaing sengit.

Tumpas 1-3 kepada Sarawak di gelanggang sendiri kelmarin meletakkan skuad Tok Gajah dalam keadaan yang begitu genting untuk ke separuh akhir.

Daripada empat perlawanan anak buah Jorgen Larsen sekadar mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan Brunei manakala tumpas dalam dua perlawanan sebelumnya kepada Sabah (1-4) dan Perak (1-2). Pahang kini menduduki tangga terakhir kumpulan B.

Begitu juga dengan Kedah senasib dengan Pahang turut rebah di gelanggang sendiri 1-2 kepada Kuala Lumpur, melengkapkan kekalahan ketiga untuk mengutip satu mata menduduki tangga terbawah kumpulan A.

Tiada pilihan buat Kedah dan Pahang, hanya perlu memenangi kesemua baki perlawanan dalam pusingan kedua bagi menghidupkan semula peluang ke separuh akhir.

Rekod tanpa kalah Terengganu yang dicalarkan oleh anak buah M. Karathu, tetapi masih kekal menerajui kumpulan A dengan kelebihan jaringan gol.

Tujuh mata yang dipungut meletakkan skuad Penyu berkongsi bersama Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Manakala juara liga, Pulau Pinang yang tidak beraksi kelmarin berada di tangga keempat dengan enam mata.

Kedudukan Terengganu, juara liga Perdana Dua belum dianggap selamat ketika kancah pusingan kedua tampak semakin menyulitkan.

Kini Negeri Sembilan yang mendapat suntikan semangat selepas menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur minggu lalu terus menghidupkan peluang untuk kembali bersaing.

Begitu juga dengan Kuala Lumpur, kembali bangkit untuk memalitkan kesengsaraan skuad Hijau Kuning. Kemenangan 2-1 hasil jaringan G. Muthu (m-21) dan S. Paidiyah Rau (m-73) mengukir kembali rasa lega untuk ke separuh akhir.

Saingan terbuka turut berlaku dalam kumpulan B, rekod tanpa kalah Brunei dirobek oleh anak buah Karl Heinz Weigang kembali menghangatkan kancah saingan.

Kemenangan manis ke atas Brunei turut memahatkan rasa yakin Perak untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir bakal menjadi realiti.

Bukan tugas yang semudah dijangkakan dengan cabaran yang lebih perit menanti skuad Perak.

Bagi Brunei kekalahan itu tidak menjejaskan apa-apa dengan kekebalan mereka bakal mengutip tiga mata penuh beraksi di gelanggang sendiri.

Sabah yang tidak beraksi kelmarin, kekal di tangga teratas dengan tujuh mata dikongsi bersama-sama Brunei dan Perak.

Manakala Sarawak yang menang 3-1 ke atas Pahang berada di tempat keempat dengan lima mata turut berpeluang untuk mencabar tiga pasukan itu

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4P7a2tsgk © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan