Jumaat, 11 November 2016

Perak julang Piala Malaysia


 

ARKIB : 13/12/1998
PEMAIN Perak, Azrul Amri Burhan (depan) cuba mengawal bola dalam perebutan dengan dua pemain Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Perak menang menerusi tendangan penalti 5-3.

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Perak muncul sebagai juara Piala Malaysia selepas ia menewaskan Terengganu 5-3 menerusi tendangan penalti pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Kejayaan ini merupakan kali kedua Perak merangkul piala keagungan bola sepak negara selepas menjulangnya buat pertama kali pada 1970.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit permainan dan seri tanpa jaringan pada masa tambahan 30 minit.

Perak memperoleh gol penalti menerusi Roslan Hamid, Khairul Anwar, Lim Seng Kong, Chan Kok Heng dan Janus Kcrecka.

Bagaimanapun Terengganu gagal memanfaatkan peluang jaringan apabila menyaksikan sepakan Badrul Hisham Abdullah tersasar keluar dari gawang.

Sebelum itu, jaringan penalti Terengganu dihasilkan oleh Anuar Jusoh, Jean Nyima dan Rosadi Wahab.

Terengganu belum pernah mengukir sebarang kemenangan Piala Malaysia selepas sekadar muncul naib juara sebanyak dua kali pada 1973 dan 1982.

Perak kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada tahun 1970 dan kemenangan semalam merupakan buat kali kelima selepas 1926, 1931, 1957, 1967 dan 1970.

Selepas beraksi pada masa tambahan 30 minit, kedua-dua pasukan masih gagal menghasilkan gol sehingga membawa kepada sepakan penalti.

Sebelum itu, kedua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 menamatkan kancah saingan sengit 90 minit. Perak membuka tirai jaringan pertama menerusi jaringan V. Saravanan pada minit ke-58 sebelum Mohd Noor Derus menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Situasi itu memaksa perlawanan dilangsungkan pada masa tambahan sudden-death.

Perak yang diilhamkan oleh jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang nyata garang sebaik babak bermula menerusi gandingan serangan mantap V. Saravanan dan M. Nagaraja.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PgdegkbA © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 10 November 2016

Demam mula hangat

ARKIB : 03/12/1998
DEMAM perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dengan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil 12 Disember ini kian terasa dan pelbagai pihak khususnya pasukan yang bertanding menyusun langkah bagi menghangatkan lagi suasana.

Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) mengambil inisiatif menyediakan kain rentang 'gergasi' untuk ditanda tangani para pemain skuad Penyu, semua pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan

Kain rentang itu yang akan ditulis perkataan berwarna hitam 'Terengganu Boleh' dengan berlatar belakangkan putih bertepatan konsep warna rasmi skuad Penyu (Hitam Putih) dijangka dibuat minggu depan.

Presiden Peteh, Tengku Farok Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, setelah siap, kain rentang itu terlebih dahulu dibawa kepada semua pemain Terengganu, pengurus dan semua pegawai pasukan untuk menurunkan tandatangan.

''Selepas itu kita akan membawanya (kain rentang) ke tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti perhentian bas, Pantai Batu Buruk dan di padang semasa sesi latihan skuad Terengganu untuk ditanda- tangani oleh orang ramai,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Sementara itu, Tengku Farok Hussin berkata, pihaknya telah menempah 15 buah bas bagi membolehkan kira-kira 1,000 para peminat bola sepak tempatan berpeluang bertandang ke Stadium Nasional untuk menyaksikan perlawanan akhir nanti.

Menurutnya, sehingga kini lapan buah bas telah siap ditempah manakala bakinya sedang dalam proses.

''Kita sedang mencari penumpang lain untuk menaiki tujuh lagi bas yang akan disediakan dan setiap penumpang dikenakan bayaran antara RM60 hingga RM65,'' katanya.

Beliau berkata, selain kesemua 15 bas kendalian Peteh, terdapat lagi perkhidmatan bas yang disewa khas secara persendirian di daerah lain untuk turut sama menyaksikan perlawanan bersejarah di Bukit Jalil.

Bas Peteh itu dijangka bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 12 tengah malam hari Jumaat (11 Disember) dan pulang ke Terengganu selesai sahaja perlawanan akhir pada keesokannya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, kira-kira 50,000 peminat bola sepak di negeri Perak dan di Lembah Klang dijangka membanjiri Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu.

Pengurus Pasukan Bola Sepak Perak, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, harga tiket bernilai RM10, RM30 dan RM50 akan dijual di Stadium Perak, esok.

Para peminat dan penyokong yang ingin mendapatkan maklumat dan ingin mengikuti rombongan menyaksikan perlawanan tersebut boleh menghubungi kelab peminat di talian 012-5384777 dan Kelab Penyokong di nombor telefon 019-5106107.

Sebanyak 100 buah bas akan disediakan bagi membawa para peminat dan penyokong pasukan Perak ke perlawanan akhir itu, katanya di Ipoh, semalam.

Perak menumpaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua, dengan jaringan pada minit ke- 97.

Oleh: RADHUAN HUSSAIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PbfZZ78J © Utusan Melayu (M) Bhd

Penyu jangan mendabik dada - Kok Heng


 

ARKIB : 02/12/1998
PEMAIN import Perak, Janos Krecska (kanan depan) berlatih bersama rakan sepasukan di Ipoh, semalam menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 12 Disember ini. - Gambar MOHAMAD HASHIM.

BERDASARKAN rekod pertemuan lalu, Terengganu jelas mempunyai sebab tersendiri untuk mengatakan mereka lebih berhak membawa pulang gelaran sebagai juara Piala Malaysia musim ini.

Namun jika itu anggapan skuad Penyu, mereka sebenarnya tersilap jangkaan kerana kesebelasan pemain Perak yang akan dihadapi pada perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, 12 Disember ini berbeza dari segi semangat dan komitmen.

Ini ditegaskan oleh pemain paling senior dalam skuad Seladang, Chan Kok Heng yang menyifatkan rekod pertemuan pada tahun 1997 bukan pencapaian yang boleh dijadikan ukuran.

Beliau yang sudah 10 tahun setia menyumbangkan tenaga kepada pasukan ini menegaskan keadaan kini berbeza kerana pertemuan kali ini adalah perlawanan akhir Piala Malaysia dan bukannya perlawanan liga atau Piala FA.

''Skuad Perak kali ini jauh berbeza berbanding tahun 1997 di mana pemain-pemain yang ada sekarang mempunyai semangat dan komitmen yang lebih tinggi berbanding dahulu.

''Setiap pemain jelas tidak mahu melepaskan peluang untuk menjuarai Piala Malaysia ini buat kali pertama sejak 1970 dan keazaman itulah yang akan mengiringi kami ke Stadium Bukit Jalil nanti,'' tegasnya yang juga bekas ketua pasukan Perak pada 1997.

Perak pada tahun itu tidak pernah menang dalam empat pertemuan mereka dengan Terengganu sama ada dalam perlawanan Liga Perdana mahu pun dalam persaingan Piala FA.

Skuad Seladang hanya mampu seri dua kali dan kalah juga dua kali. Mereka seri 1-1 di Kuala Terengganu dan kalah 1-2 di Ipoh dalam perlawanan liga.

Dalam perlawanan timbal balik Piala FA, Perak juga seri 0-0 di Kuala Terengganu dan kemudiannya tewas menerusi sepakan penalti 3-4 selepas terikat 0-0 dalam 90 minit permainan di Kuala Lumpur ketika itu.

Tahun ini, kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu kerana Terengganu bermain dalam Bahagian Dua manakala Perak dalam Bahagian Satu. Lebih menarik, kedua-dua pasukan adalah naib juara kumpulan masing-masing pada persaingan peringkat awal Piala Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PbXxutFR © Utusan Melayu (M) Bhd

Abdullah ramal Penyu jadi juara

ARKIB : 01/12/1998
BEKAS jurulatih bola sepak Terengganu, Abdullah Mohamad meramalkan Terengganu akan muncul sebagai juara Piala Malaysia tahun ini berdasarkan beberapa faktor.

Abdullah yang juga bekas pemain negeri itu berkata ini kali ketiga Terengganu masuk pertandingan akhir. Kali pertama tahun 1973 dan kedua 1982.

''Tahun ini tahun terbaik bagi Terengganu menebus kekecewaan pada perlawanan akhir sebelum ini...,'' katanya ketika mengulas pertandingan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil 12 Disember ini.

Beliau berkata, pertandingan akhir Piala Malaysia tahun ini berbeza daripada tahun 1973 dan 1982 kerana ketika itu Terengganu bertemu Selangor.

''Kita terpaksa menghadapi penyokong Selangor yang penuh sesak di Stadium Merdeka ketika itu.

Kali ini Terengganu akan berhadapan dengan pasukan Perak dan suasananya berlainan dan berbeza,'' kata Abdullah yang turut bermain dalam pasukan tahun 1973.

Beliau berkata Terengganu dan Perak mempunyai keistimewaan tersendiri, tetapi yakin Terengganu mampu mengatasi mereka.

Katanya, antara faktor penting yang membolehkan Terengganu menjuarai Piala Malaysia musim ini ialah keistimewaan pemain-peminnya yang mampu bermain di setiap posisi.

Beliau berkata walaupun corak permainan Perak lebih terbuka dan pemain-pemainnya rajin berusaha, tetapi mereka mungkin sukar menembusi pertahanan Terengganu yang kental yang diketuai oleh Azman Ismail.

Penyerang-penyerang Terengganu seperti Samuel Chebli dan Wan Ahmad Ridzuan pula mempunyai larian yang pantas dan boleh mengelirukan pertahanan Perak.

Abdullah juga berkata Terengganu mempunyai kombinasi pemain tengah yang mantap seperti Seidu Issifu, Badrul Hisham Abdullah dan Anuar Jusoh.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan Perak juga mempunyai barisan tengah yang baik antaranya, Lim Seng Kong.

Terengganu kalah 0-1 pada pertandingan akhir tahun 1973 dan 1-2 tahun 1982, kedua-duanya di Stadium Merdeka. - Bernama.

Umber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PbTHq1ft © Utusan Melayu (M) Bhd

Seladang bukan pasukan belasahan

ARKIB : 30/11/1998
KEJAYAAN Perak melangkah ke final Piala Malaysia mengesahkan kebangkitan pasukan itu sekali gus menafikan tanggapan banyak pihak di awal musim bahawa skuad Seladang adalah pasukan belasahan, lapor RAMLI ABDUL KARIM.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PFA), Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, selaku pasukan under dog yang langsung tidak diberi harapan selama ini, kejayaan itu adalah bukti Perak berupaya mencatat kejutan.

Menurutnya, reputasi skuad Seladang tenggelam ekoran persembahan tidak konsisten dalam Piala FA dan persaingan dalam Liga Perdana Satu musim ini.

''Kemenangan malam tadi (kelmarin) merupakan sesuatu yang paling berharga buat Perak. Ia juga penjelasan terbaik kepada mana- mana pihak yang selama ini memandang rendah pasukan ini bahawa mereka sebenarnya telah tersilap langkah,'' katanya kepada pemberita di Pasir Salak, semalam.

Selepas terikat agregat 2-2 di Seremban minggu lalu dan 0-0 sepanjang 90 minit di Stadium Perak, kelmarin, Lim Seng Kong meranapkan impian Negeri Sembilan menerusi jaringan emasnya pada minit ke-6 masa tambahan sudden death.

Perak akan bertemu Terengganu dalam perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil pada 12 Disember ini. Terengganu mengaibkan Sabah dengan agregat 4-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Ramli yang juga Menteri Besar percaya setiap pemain telah digarap dengan semangat sepasukan tinggi yang menjadi faktor utama kepada kejayaan itu.

Mengenai perlawanan akhir, Ramli berkata, pemain harus melupakan seketika soal ganjaran yang dijanjikan sebaliknya menumpukan perhatian menghadapi Terengganu.

Menurutnya, tugas yang lebih penting kini ialah memastikan penantian Perak selama 28 tahun untuk membawa pulang Piala Malaysia berakhir pada 12 Disember ini.

''Saya ulangi bahawa ganjaran tetap ada. Tetapi saya tidak mahu ia mengganggu tumpuan pemain. Biarlah Piala Malaysia sah menjadi milik Perak terlebih dulu,'' tegasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PbRwYQmR © Utusan Melayu (M) Bhd

Syukur...kita berjaya ke akhir - Che Mat Jusoh

ARKIB : 30/11/1998
''SYUKUR...kita berjaya ke akhir,'' itulah luahan penuh kegembiraan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) merangkap Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Beliau ketika ditemui selesai sahaja perlawanan separuh akhir kedua Terengganu-Sabah yang berkesudahan tuan rumah menang 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddih Shah, kelmarin ternyata 'gagal' menyembunyikan perasaannya setelah penantian 16 tahun skuad Penyu ke akhir, berhasil.

Che Mat dengan terharu memberitahu, kejayaan yang turut memusnahkan impian Sabah ke Bukit Jalil 12 Disember ini jelas bersandarkan semangat padu para pemain Terengganu menghadapi saat getir pertarungan sungguhpun pada awalnya mempunyai kelebihan agregat 2-0 ke atas lawan.

Semangat juang kesebelasan pemain dalam pendakian ke persada akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, perlu diberi penghargaan serta pujian biarpun 10 minit pertama perlawanan ternyata tekanan menghimpit perasaan.

Akibatnya aksi dan corak permainan selain strategi yang agak kurang menjadi, begitu meresahkan pemain, jurulatih (Abdul Rahman Ibrahim) tidak terkecuali kira-kira 18,000 penonton tuan rumah.

Bagaimanapun kata Che Mat, kelemahan itu terutama tekanan mental yang cukup dahsyat membelenggu pemain akhirnya terubat dengan kembali bangkit menggempur segenap penjuru benteng lawan.

''Alhamdulillah pemain kita berjaya mengawal keadaan yang penuh tekanan dan saya beberapa kali berpesan agar mereka tidak gelabah sebaliknya sentiasa bijak mengawal keadaan serta bertenang,'' ujarnya.

Malah sebelum pertarungan kedua, kelmarin, beliau yang sempat mengintai kelemahan beberapa pemain lawan turut meyakinkan pemain, Terengganu wajar mencuri kesempatan itu.

Selain itu Che Mat juga tidak melupakan peranan banyak pihak terutama para penonton dan pihak media dalam menentukan kejayaan Terengganu yang bakal beraksi bertemu Perak pada perlawanan akhir.

''Inilah yang kita mahu, para penonton tuan rumah yang sesak memenuhi ruang stadium memberikan sokongan padu kepada pemain dan begitu juga pihak media, kita amat berterima kasih,'' katanya.

Namun perjuangan skuad Penyu yang dinobatkan hasil kemenangan ke atas Sabah menerusi jaringan Samuel Chebli dan Badrul Hisham Abdullah, kelmarin dan berjaya menyusuri Bukit Jalil 12 Disember ini bagi menjulang Piala Malaysia, masih belum berakhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PbQoQ5na © Utusan Melayu (M) Bhd

Perak terpaksa memerah keringat -- Terengganu paling selesa melangkah ke akhir

ARKIB : 30/11/1998 
LIM SENG KONG tanpa berbaju berlari mengelilingi padang selepas jaringan emasnya pada minit ke-97 membantu Perak menewaskan Negeri Sembilan untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 12 Disember ini.

DATUK Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Abdul Rahman Ibrahim mendapat mandat menggembleng tenaga menaikkan semula martabat bola sepak negara namun masing-masing bakal menjadi musuh dalam perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-32 di Stadium Nasional Bukit Jalil 12 Disember ini.

Sebagaimana ilham kedua-duanya untuk skuad bola sepak kebangsaan bernafas baru begitu juga akan dilakukan apabila beraksi di perlawanan akhir nanti.

Buat Perak dan Terengganu masing-masing nyata dahagakan kejayaan selepas sekian lamanya tidak menjulang piala berprestij yang selalunya didominasi oleh Selangor dan Singapura.

Buat pertama kalinya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mampu mengukir senyum stadium yang dulunya sepi ketika aksi awal liga dan kempen Piala Malaysia, kini kembali ceria setiap ruang di Stadium Perak dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah kembali menambat penonton malam kelmarin.

Namun perlawanan separuh akhir kedua malam kelmarin nyata berlangsung dalam suasana penuh debar dengan aksi-aksi menarik menjelaskan betapa kehebatan Terengganu dan Perak wajar diiktiraf untuk beraksi di final.

Terengganu jelas paling selesa melangkah dengan penuh bergaya ke akhir berbanding Perak.

Berbekalkan kemenangan 2-0 di Likas dan mereka nyata sukar disekat apabila dua gol lagi menyusul menerusi jaringan Samuel Chebli dan Badrulhisham Abdullah membenam Sabah buat memastikan kemaraan ke akhir selepas 16 tahun.

Abdul Rahman yang akan memulakan tugas selaku jurulatih kebangsaan tahun depan, sudah pastinya mahu Terengganu menggamit kemenangan pertama mencipta sejarah memahatkan nama menjulang Piala Malaysia.

Mereka sekadar dijulang selaku naib juara apabila tewas 1-0 kepada Selangor dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka, Terengganu pastinya mengharapkan Stadium Nasional Bukit Jalil bakal memahat sejarah yang sekian lama dinantikan.

Buat Perak pula terpaksa memerah segala keringat selain sokongan padu penyokong sendiri hanya jaringan 'emas' jaringan Lim Seng Kong di masa tambahan sudden-death memastikan kejayaan ke final.

Ternyata Negeri Sembilan bukan lawan yang mudah untuk diperbudakkan biarpun masing-masing terikat 2-2 pada kempen pusingan pertama di Paroi.

Namun nasib jelas memihak kepada Perak untuk beraksi di akhir dan kali terakhir mendakap gelaran itu pada 1970 ketika menang 2-0 ke atas Kelantan.

Dengan tempoh rehat selama dua minggu membolehkan kedua-dua pasukan membuat persiapan rapi hadapi memburu gelaran Piala Malaysia musim '98.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PbNfxz51 © Utusan Melayu (M) Bhd

Peluang terakhir 4 pasukan -- Terengganu lebih selesa

ARKIB : 28/11/1998
EMPAT pasukan akan membuat perhitungan akhir malam ini bagi menentukan dua negeri yang bakal layak ke perlawanan akhir pertandingan bola sepak Piala Malaysia pada 12 Disember ini.

Pertembungan antara Perak dan Negeri Sembilan serta Terengganu dan Sabah pasti amat menarik dengan keempat-empat pasukan memilih peluang yang sama untuk melangkah ke final.

Xby ads

Terengganu yang kali terakhir layak ke final pada 1982 mampu mengukir senyum menanti kedatangan Sabah berbekalkan kemenangan 2-0 di Likas Sabtu lalu.

Namun bukan tugas mudah buat anak buah jurulatih kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim melayani kekecewaan Sabah mahu menebus balik kekalahan di gelanggang sendiri tempoh hari.

Buat Ken Shelito, kini mencatur strategi paling mantap mengharapkan penyerang kelahiran Gabon, Saphou Lassy tidak lagi tenggelam sebagaimana aksi di Likas.

Amukan pemain Sabah dijangkakan bakal menggegar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah namun Abdul Rahman bagaikan sudah terhidu keinginan besar lawan.

Buat Terengganu dengan prestasi di gelanggang sendiri kurang konsisten dalam kancah saingan awal Piala Malaysia, harus mengambil iktibar itu jika mahu impian layak ke akhir selepas 16 tahun bakal menjadi kenyataan.

Begitupun aksi di Stadium Perak turut menjadi perhatian utama. Keupayaan sama kuat dan sama handal ketika terikat seri 2-2 di Paroi minggu lepas menjadi penentu malam ini.

Masing-masing menyemat impian yang tinggal dalam lipatan sejarah untuk layak ke final yang sering kali didominasi oleh Selangor dan Singapura.

Perak kali terakhir muncul juara pada 1970 manakala Negeri Sembilan kali terakhir mengukir kejayaan manis pada 1948 (Piala HMS Malaya).

Perak dianggap mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri namun kekalahan 1-4 kepada Sabah dalam saingan awal Piala Malaysia perlu menjadi perkiraan utama.

Xby ads

Begitu pun pada masa yang sama anak buah M. Karathu tetap melaungkan keyakinan betapa kelebihan Perak di gelanggang sendiri mampu dinafikan malam ini.

Perak seharusnya lega dengan kehadiran tonggak pertahanan Roslan Hamid yang bebas daripada penggantungan manakala ayam tambatan Laszlo Repasi tampak sudah bersedia menjadi penggempur utama yang tidak beraksi di Paroi.

Sementara itu, jualan tiket pertandingan antara Terengganu dan Sabah, di Kuala Terengganu mendapat sambutan menggalakkan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata jualan tiket itu dibuat selama dua hari _ semalam dan hari ini.

''Jualan hari ini (semalam) amat laris, macam goreng pisang,'' katanya semalam.

Tiket-tiket berharga RM20 untuk tempat berbumbung, RM10 tempat terbuka dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun.

Abdullah berkata jualan hari ini akan bermula pukul 9 pagi hingga perlawanan bermula.

Beliau berkata pihaknya juga menerima tempahan daripada peminat bola sepak daripada Kelantan dan Pahang.

Katanya, peminat-peminat tersebut berjanji akan memberi sokongan moral kepada pasukan Terengganu.

Beliau juga berkata PBSNT akan menyediakan peti televisyen di luar stadium bagi kemudahan orang ramai yang tidak dapat membeli tiket.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hanya boleh menampung 17,000 penonton.

SUMBER-ARKIB UM 1998

Isnin, 7 November 2016

Penyu singkir P. Pinang

ARKIB : 15/11/1998
TERENGGANU tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi tetapi kekalahan itu tidak menghalang peluang skuad Penyu itu ke separuh akhir.

Sebaliknya, Pulau Pinang yang meletakkan harapan tinggi dengan mengharapkan keputusan pertarungan itu terpaksa menerima hakikat nasib lebih menyebelahi Terengganu.

Perlawanan yang berlangsung di hadapan kira-kira 10,000 penonton itu menyaksikan Abdul Halim Jantan muncul wira Negeri Sembilan menerusi dua jaringan emasnya pada minit ke-55 dan 56.

Sepak mula membangkitkan semangat juang kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan dalam pertarungan menarik dan penuh mendebarkan.

Terengganu yang sememangnya mengharapkan kemenangan tidak berputus asa melancarkan serangan dari segenap penjuru untuk memburu jaringan.

Gabungan tonggak utama Seidu Issifu, Badrul Hisham Abdullah yang turut didukung ketua pasukan, Anuar Jusoh memperhebatkan gerakan bagi mengekang barisan pasukan pelawat.

Sehingga minit ke-34 pasukan tuan rumah terpaksa mengeluarkan penjaga golnya, Zubir Ibrahim kerana kecederaan dan digantikan Tay Sin Kiat.

Pertukaran itu sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan Terengganu dan meresahkan para penonton tuan rumah yang menyandarkan harapan tinggi.

Seidu Issifu, Mohd. Noor Derus, Samuel Chebli masih tidak mahu menyerah kalah untuk mencari ruang jaringan namun banyak peluang yang dicipta tidak dimanfaatkan.

Enam minit berlangsungnya separuh masa kedua, suasana stadium yang sebelumnya gamat dengan sorakan bertukar sepi berikutan jaringan Abdul Halim yang mendapat umpanan Faizal Zainal.

Gol tersebut terus membangkit keghairahan pasukan pelawat untuk menambah jaringan menerusi pemain yang sama, Abdul Halim seminit kemudian.

Kedua-dua gol itu mengkucarkacirkan permainan skuad Penyu yang seolah-olah tersentak dengan jurang gol tersebut mendorong jurulatihnya, Abdul Rahman Ibrahim membuat pertukaran.

Badrul Afzan Ghazali menggantikan Azman Ismail dan tidak lama selepas itu pertukaran kedua memasukkan Baharuddin Ali untuk mengambil alih tugas Mohd. Naszreen Tee.

Minit terakhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mengubah kedudukan namun kemenangan muktamad berakhir dan Terengganu terpaksa menyerah kalah 0-2.

Kemenangan itu juga membuktikan Negeri Sembilan mengekalkan kedudukannya di tangga teratas Kumpulan A dengan memungut 19 mata dan layak ke separuh akhir diiringi Terengganu yang masih 13 mata.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PJvRWP4v

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 6 November 2016

Nasib P. Pinang seperti telur di hujung tanduk

ARKIB : 08/11/1998
SAINGAN terakhir Pulau Pinang bagi peringkat kumpulan memberikan kemenangan kepada skuad Harimau Kumbang yang menewaskan Terengganu 1-0 di Stadium Bandaraya semalam.

Namun jaringan tunggal Moey Kok Hong pada minit ke-86 masih menyukarkan Pulau Pinang untuk mara ke separuh akhir selepas hanya memungut 13 mata sedangkan perlawanan malam tadi adalah yang terakhir bagi tuan rumah.

Sebaliknya kekalahan ini menangguhkan hajat juara Perdana Dua, Terengganu yang terpaksa berdepan satu lagi perlawanan Sabtu ini bertemu Negeri Sembilan sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Bagaimanapun saingan terdekatnya, Negeri Sembilan sudahpun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Paroi pada perlawanan yang lain.

Tiupan wisel tanda bermula babak pertama daripada pengadil, Nik Ahmad Yaakob seolah-olah membakar semangat Pulau Pinang yang begitu terdesak mencari kemenangan buat mencerahkan laluan ke separuh akhir.

Nasib tidak menyebelahi tuan rumah apabila sepakan lambung Riyadh Abbas sekadar singgah di palang gol pelawat seawal minit ketiga.

Perlawanan semakin rancak dalam separuh masa kedua tetapi tindakan pemain Terengganu Wan Ahmad Redzuan mengasari lawan memaksa pengadil melayangkan dua kad kuning kepadanya sekali gus menjejaskan corak pasukan pelawat.

Walaupun beraksi 10 pemain, Terengganu tetap kebal sehingga menyukarkan Pulau Pinang mencari jaringan termasuk rembatan kencang Ng Kok Heng dari jarak 25 meter mampu ditepis penjaga gol Zubir Ibrahim pada minit ke-48.

Setelah berhempas pulas Pulau Pinang memperoleh jaringan apabila hantaran Merzagua Abderazzak disudahi dengan tandukan masuk Moey Kok Hong pada minit ke-86.

P. PINANG: Ahmad Sobri Ismail, Moey Kok Hong, Chee Wan Hoe, Abdul Rahim Hassan, S. Nanthakumar, Yong Woon Seang, Ng Kok Heng (R. Sureskumar), Balla Modou Conde, Riyadh Abbas, Domi Che Non (Ooi Hoe Guan), Merzaggua Abderrazak.

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Azman Ismail, Anuar Jusoh, Syamsol Saad, Badrul Afzan (Baharuddin Ali), Jean Nyima, Rosdi Talib, Mohd. Noor Derus (Rosadhi Wahab), Seidu Issifu, Samuel Chebli, Wan Ahmad Redzuan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PF1EuhDv © Utusan Melayu (M) Bhd

Perjuangan Perak belum berakhir

ARKIB : 08/11/1998
BELUM terlambat bagi Perak untuk mencerahkan kembali peluang beraksi di separuh akhir Piala Malaysia hasil kejayaan membenamkan sisa-sisa perjuangan Pahang dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Perak, malam tadi.

Sambil dibantu kemenangan Sabah 6-0 ke atas Brunei di Stadium Likas, Perak kini bakal membuat perhitungan dengan Brunei dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Hasanal Bolkiah Sabtu ini.

Tanpa Laszlo Repasi, Perak masih mampu mencatat kemenangan manis itu hasil jaringan Janos Krecska pada minit ke-28 dan Azrul Amri Burhan minit ke-42.

Hujan tidak menghalang kedua-dua pasukan rancak mengatur gerakan sebaik babak pertama dimulakan. Kedua pasukan berusaha mengelak menjadi pasukan tercorot dalam kumpulan B.

Dalam tempoh 15 minit pertama, pasukan tuan rumah melancarkan serangan bertali arus sehingga memaksa Pahang lebih banyak bertahan.

Pahang yang sekali-sekala menyerang akhirnya terpaksa akur pada minit ke-28. Bermula dengan sepakan kencang Gyorgy Takacs dari jarak 20 meter ditepis penjaga gol Pahang, Zuraimi Hassan, sepakan sudut selepas itu tidak lagi dapat menghalang Perak menjaringkan gol.

Takacs yang mengambil sepakan sudut itu terus melambungkan bola tepat ke kepala Janos yang mudah menanduk gol pertama sebelum Azrul menjaringkan gol kedua minit ke-42. Pahang menduduki tempat tercorot kumpulan B dan terpaksa menutup tirai musim ini dengan penuh kecewa.

PERAK: V. Murugan, Raja Azlan Shah, Chan Kok Heng, Roslan Hamid, M. Nagaraja, Gyorgy Takacs, Azrul Amri Burhan (P. Gunasekaran), Chan Wing Hoong, Lim Seng Kong, Janos Krecska, V. Saravanan.

PAHANG: Zuraimi Hassan, Jalaludin Jaafar, Emmanuel Kofi Ampiah, Khairulniza Mustafar, Mohd. Ali Tahar (Azhar Kamaludin), Melnikov Viatcheslav, Khairol Anwar Abd. Karim (Azaruddin Aziz), Ahmad Shaharuddin Rosdi, Baharuddin Osman, Naziman Nasil (Shahrul Nizam Sahat), Ahmad Shukri Mustapha.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PEFT3HlC © Utusan Melayu (M) Bhd

N. Sembilan ikut jejak Sabah

ARKIB : 08/11/1998
NEGERI Sembilan menempah tiket ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Paroi malam tadi.

Keputusan pada perlawanan itu sekali gus memadamkan impian Kuala Lumpur malah pasukan itu tersingkir daripada kempen Piala Malaysia musim ini.

Gol kemenangan Negeri Sembilan diperoleh menerusi pemain Zami Mohd. Noor pada minit ke-9 dan 41 manakala gol terakhir Negeri Sembilan menerusi A. Ganeson pada minit ke-73.

Sementara itu, gol sagu hati Kuala Lumpur pula diperoleh pada minit ke-47 menerusi G. Muthu.

Gol Skuad Rusa berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh Faizal Zainal terus ke gawang.

Namun penjaga gol Kuala Lumpur Azmin Azram yang cuba mendakap bola terlepas daripada genggaman dan Zami yang berada di dalam kotak penalti terus merembat kencang menggegar jaring.

Skuad Kuala Lumpur yang bermain dengan strategi off sideternyata agak berkesan tetapi kesilapan menjatuhkan pemain Negeri Sembilan Sharul Akram membolehkan Negeri Sembilan memperoleh sepakan percuma dari jarak 20 meter.

Faizal melorong bola ke Pedro Olievera ke dalam kotak penalti, Pedro yang tidak dikawal membuat hantaran lintang ke arah Zami sebelum bola dikuis masuk.

Kuala Lumpur memperoleh gol pertama mereka menerusi G. Muthu yang berjaya memperdayakan Yazid dalam gerakan solo akibat daripada kecuaian pemain pertahanan Negeri Sembilan, Khairil Zainal.

Sorakan padu oleh 7,000 penyokong Negeri Sembilan ternyata membakar semangat anal-anak buah M. Karathu untuk mencipta serangan demi serangan ke arah kubu Kuala Lumpur.

Pada minit ke-73, pemain pertahanan Ganeson menambah kedudukan Negeri Sembilan apabila menyumbang gol ketiga.

NEGERI SEMBILAN: FAIZAL zainal, B. Rajnikandh, Ching Hong Aik, Pedro Oliveira, ahmad shahrul, Zami Mohd. Noor, Khairil Zainal, Shamsul akmar, Effandy Abdul Malek, MOhd. Yazid Mohd. Yassin.

KUALA LUMPUR: Azmin Azram, Azlan Meri, Ahmad Faizal, M. Karunakaran, P. Saravanan, Adilson Roque, G. Muthu, Azmir Noor Hakim, S. Paidiya Rao, Azlan Hussin, Liew Kim Tu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PE8eIgCJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabah layak ke separuh akhir

ARKIB : 08/11/1998
JARINGAN hat trick pemain import, Saphou Lassy memastikan Sabah mara ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia selepas berpesta gol dengan menewaskan saingan terdekat Brunei 6-0 dalam perlawanan kumpulan B di Stadium Likas, semalam.

Naib juara Piala FA musim ini itu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan kecemerlangan pemain dari Gabon meledakkan jaringan hat trick pada minit ke-22, 53, 70.

Henry Soimpon turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-41 sebelum kesilapan pertahanan Brunei, Liew Chuan Fue menyumbat masuk ke gawang sendiri untuk gol kelima pada minit ke-82 dan jaringan terakhir Suharmin Yusof pada minit ke-90.

Kejayaan ini menebus kembali kegagalan Sabah musim lalu yang gagal menempatkan diri ke separuh akhir.

Buat Brunei peluang mereka untuk ke separuh akhir masih ada dan hanya perlawanan terakhir menentang Perak di gelanggang sendiri Sabtu ini memerlukan keputusan menang bagi mengikut jejak langkah Sabah.

Kemenangan ini memastikan Sabah memungut 16 mata manakala Brunei masih kekal dengan 11 mata. Sabah sudahpun menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

Kecemerlangan Lassy jelas menjadi tarikan menolak masuk gol pertama pada minit ke-22.

Brunei yang tertekan dengan gol awal itu cuba mengatur gerakan namun Lassy sekali lagi menggamatkan Stadium Likas dengan gol peribadi keduanya pada minit ke-53.

Dua gol itu menyemarakkan anak buah Ken Shelito yang terus memperkukuhkan kedudukan menerusi sepakan kencang Henry pada minit ke-41.

Begitupun Sabah memperoleh sepakan penalti namun Lassy gagal menyempurnakan sepakan itu.

Bagaimanapun dia menebus kembali kegagalan itu apabila meledakkan jaringan hat trick menutup terus kehebatan Brunei dalam usaha mencari kemenangan.

Sabah terus mengasak pada minit terakhir sehingga Brunei tertekan dan melepaskan dua lagi gol dalam tempoh 10 minit terakhir menerusi kesilapan Chuan Fue pada minit ke-82 dan jaringan Suharmin minit ke-90.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PDadcSTZ © Utusan Melayu (M) Bhd