Rabu, 31 Mei 2017

Tumpuan ke Piala Malaysia



ARKIB : 12/07/2005

Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Pelbagai cerita gembira dan duka mewarnai kancah saingan Liga Super dan Liga Perdana musim 2005 yang menutup tirai Ahad lepas.

Selepas ini tumpuan peminat bola sepak akan beralih ke saingan Piala Malaysia - pertandingan paling berprestij yang menjadi buruan dan impian setiap pasukan untuk bergelar juara.

Undian Piala Malaysia akan dijalankan Jumaat ini bagi menentukan kedudukan 16 pasukan iaitu lapan daripada Liga Super manakala lapan lagi daripada Liga Perdana yang akan dibahagikan kepada empat kumpulan.

Manakala Piala FA pula akan mengharungi saingan suku akhir kedua malam esok.

Apapun, wajah gembira milik juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis yang dinobatkan selaku juara Liga Super musim ini.

Kejayaan Perlis menafikan hajat Pahang yang cuba mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

Bagaimanapun Pahang masih mampu mengukir wajah ceria apabila muncul selaku naib juara Liga Super di belakang Perlis.

Manakala Public Bank dianggap pasukan berstatus kelab yang paling menjadi perhatian namun tenggelam bersama Sabah.

Kedua-dua pasukan tersebut menduduki dua tempat terbawah liga yang memaksa mereka tersisih daripada saingan Liga Super musim depan.

Tempat kedua-dua pasukan itu diisi oleh Selangor, gergasi bola sepak yang cukup digeruni pihak lawan dan Negeri Sembilan layak ke Liga Super musim 2006 selepas muncul juara Kumpulan A dan B, Liga Perdana.

Saingan sengit lebih menjadi tumpuan dalam Kumpulan A menyaksikan pertembungan sengit MK Land dan Kedah cuba menyaingi Selangor namun usaha tersebut gagal.

Bagaimanapun, gelaran juara Liga Perdana musim 2005 akan ditentukan pertembungan antara Selangor dan Negeri Sembilan pada 23 Julai ini.

Ketika Selangor dan Negeri Sembilan berwajah ceria, nasib Polis dan Melaka lebih malang.

Mereka terpaksa mengakui hakikat apabila kedua-dua pasukan itu tersingkir beraksi di Liga FAM tahun depan.

Yang pasti, saingan Liga Super 2006 dianggap paling sengit menampilkan kehadiran Perlis, Pahang, Perak, Telekom, MPPJ, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Di samping itu pula, pemain import terus menonjol daripada pemain tempatan apabila menguasai tangga teratas penjaring terbanyak dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Penyerang Perlis, Zachariah Simukonda dan Julio Rodriguez dari Sabah muncul penjaring terbanyak Liga Super masing-masing dengan 18 gol.

Mereka diekori rapat oleh dua pemain Pahang, Bernard Tchoutang (12).

Manakala Indra Putra Mahayudin (11) menyelamatkan sedikit maruah pemain tempatan apabila menduduki tangga keempat dengan menjaringkan 11 gol.

Dalam Liga Perdana pula, penyerang MK Land, Marlon Alex James muncul penjaring terbanyak dengan 23 gol diikuti oleh penyerang Selangor, Bambang Pamungkas (22), Brian Fuentes (16) dan Christian Bekamenga (16).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iievT4np
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan