ARKIB : 20/10/2009
Oleh HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - KL PLUS, KM Naza
dan Johor FC terus cuba menjejak kejayaan MPPJ bergelar kelab pertama menjulang
Piala Malaysia pada 2003 manakala kekebalan Negeri Sembilan turut teruji lagi
pada suku akhir pertama persaingan berprestij bola sepak negara, malam ini.
Masih ada maruah bola sepak Kuala
Lumpur, Kedah dan Johor yang terpikul di bahu anak buah Mat Zan Mat Aris,
Nidzam Adzha Yusof dan Ramlan Rashid namun persoalannya, apakah perjuangan
mereka direstui penyokong pasukan negeri itu yang telah kecundang di peringkat
kumpulan?
Status dan nama mereka mungkin berlainan
malah tidak segah negeri namun jika mutu permainan bola sepak yang dipaparkan
itu sentiasa meningkat dan terpuji, tiada salahnya peluang dan sokongan peminat
di Cheras, Paroi dan Pasir Gudang dialihkan kepada tiga kelab ini.
Reputasi tanpa kalah milik juara
Kumpulan B Si Rusa bimbingan Wan Jamak Wan Hassan pasti dicemburui KM Naza yang
turut mengidam gelaran 'Pemusnah Gergasi' terus dilabelkan pada mereka selepas
menumbangkan Selangor 3-2 di Alor Setar, minggu lalu.
Malah perlu diingat bahawa Merah
Kuning, pemenang tiga piala musim ini, nyaris kecundang kerana ditinggalkan dua
gol oleh kelab Kedah ini di Stadium Shah Alam sebelum terpaksa tuan rumah
mengerah pengalaman dan memulihkan ketahanan mental mereka untuk menang 3-2.
Misi Negeri Sembilan
mempertahankan reputasi itu sebenarnya lebih perit daripada memburunya apatah
lagi KM Naza membariskan orang lama seperti B. Rajnikandh, Anuar Jusoh, Liew
Kit Kong dan Akmal Rizal Rakhli yang mungkin mempunyai resipi tertentu untuk dihidangkan
secara 'mengejut' di Paroi.
Namun pandangan jurulatih
Selangor, K. Devan agak berlainan kerana menganggap Terengganu yang bakal
dihadapinya di Shah Alam, jauh lebih handal daripada ketiga-tiga lawan anak
buahnya dalam Kumpulan D lalu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.
"Kami menang 3-1 di Shah
Alam dan kalah 2-1 di Kuala Terengganu dalam kedua-dua pusingan Liga Super
musim ini namun inilah sebenarnya pasukan yang wajar diberikan lebih perhatian
berbanding tiga pasukan peringkat kumpulan lalu.
"Kami mahu menyerang
habis-habisan kerana perlukan bekalan gol yang selesa sebelum bertandang ke
sana tetapi kami percaya lawan akan lebih banyak bertahan dalam pertemuan
pertama ini," kata Devan kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dia cukup arif bahawa Ken Worden
akan memainkan peranan penting dalam mendidik barisan belakangnya menutup
segala ruang buat Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Amri Yahyah, Rudie Ramli dan
R. Surendren kerana setiap inci yang terbolos bererti bahaya besar buat
Terengganu.
Turut menarik dalam peringkat
kalah mati Piala Malaysia ini ialah kemaraan KL PLUS yang memintas Perlis
sebagai juara Kumpulan A di samping gandingan berbisa Fadzli Saari-Haris Safwan
Kamal yang terus ditagih untuk menggoncang Kelantan.
"Selain mereka saya harapkan
kelebihan gelanggang sendiri mampu membantu kami mendapatkan modal suku akhir
pertama walaupun saya tahu penyokong Kelantan akan hadir lebih ramai di Stadium
Bola Sepak Kuala Lumpur.
"Saya percaya mungkin jika
Khalid Jamlus tidak diturunkan pun, pelawat masih memiliki ramai pemain
kebangsaan dan berpengalaman seperti Nor Farhan Muhammad dan Indra Putra
Mahayuddin, jadi kami akan sentiasa berhati-hati dan sedia menghadapi apa
sahaja," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YbeA7dkk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan