ARKIB : 08/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD, FERZALFIE
FAUZI dan ILAH HAFIZ AZIZ
sukan@utusan.com.my
Gambar - IZHAM JAAFAR, MOHD.
NAZUDEEN MAHMUD dan FARIZUWAN
KUALA LUMPUR Negeri Sembilan
mengakhiri kemarau 61 tahun untuk menjulang trofi teragung bola sepak negara,
Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Sebaliknya malam malang penuh
hampa buat Wira Merah kerana biarpun bertemankan majoriti penonton, mereka
masih gagal mematahkan tanduk Si Rusa yang melonjak megah meraikan kejayaan
bersejarah sekali gus memberikan hadiah tidak ternilai buat Yang Dipertuan
Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang baru ditabalkan 26
Oktober lalu.
Jika bersandarkan sejarah
kejohanan, inilah Piala Malaysia pertama yang berjaya menebus kehampaan Negeri
Sembilan pada tahun 2000 dan 2006 setelah ditewaskan Perak dan Perlis pada
perlawanan akhir.
Sebelum ini, Negeri Sembilan
pernah sekali muncul juara iaitu pada 1948 ketika kejohanan ini menggunakan
nama, Piala HMS-Malaya.
Dimulai Shahurain Abu Samah pada
minit ke-18, disambung Hairuddin Omar seminit selepas rehat dan dilengkapkan
Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak tanggal minit ke-59, tiada apa yang mampu
dilakukan Kelantan melainkan memanjangkan penantian dan rasa kempunan yang
mencecah 39 tahun untuk menikmati trofi itu.
Gol tunggal Kelantan pada masa
kecederaan babak kedua pada minit ke-93 menerusi sepakan bebas ketua
pasukannya, Indra Putra Mahayuddin sekadar satu sagu hati yang mengubat luka
barisan Wira Merah yang terpaksa menelan hakikat pahit keputusan ini.
Kecuaian bek kiri Kelantan, Zamri
Ramli mengawal bola daripada hantaran lambung ke kotak penalti menghukum
pasukannya dengan gol pertama Negeri Sembilan hasil rembatan kencang Shahurain
Abu Samah pada minit ke-18 tanpa mampu ditepis Mohd. Halim Napi.
Dua minit sebelum rehat,
Hairuddin Omar nyaris melebarkan kedudukan Si Rusa dengan gol kedua tetapi
tandukan kencangnya sekadar sipi beberapa inci daripada tiang gol Kelantan
selepas mendapat umpanan lintang S. Kunanlan dari sebelah kiri.
Namun hanya seminit babak kedua
bermula, Hairuddin menebus kegagalan itu dengan tandukan yang menjerat Halim
secara solo hasil hantaran sebelah kiri gandingan serangannya, Zaquan Adha
sekali gus menjelmakan gol kedua Negeri Sembilan.
Gol yang meragut 90 peratus
semangat juang Kelantan itu muncul gara-gara sangkaan barisan belakangnya yang
meleset bahawa Hairuddin yang dipinjam daripada T-Team bagi Piala Malaysia
musim ini, sudah berada dalam keadaan ofsaid.
Zamri sekali lagi menambah derita
Kelantan gara-gara menarik tangan Shahurain yang sudah mencerobohi kubunya pada
minit ke-58 lantas menghadiahkan sepakan penalti buat Negeri Sembilan yang
tenang disudahkan Zaquan Adha seminit kemudian.
Ketinggalan tiga gol itu hanya
tambah memberangkan penyokong Si Kijang yang bukan sahaja beransur-ansur
meninggalkan tempat duduk bahkan melontar pelbagai objek termasuk mercun
sehingga berkepul-kepul asap tebal di ruang angkasa gelanggang tanda tidak puas
hati.
Malah ada diantaranya membakar
kerusi di tempat duduk penonton.
Perlawanan yang disiarkan secara
langsung menerusi TV1 RTM itu turut disaksikan Tuanku Muhriz di samping Menteri
Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk
Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA),
Tan Sri Annuar Musa.
Negeri Sembilan mendapat hadiah
bonus apabila pemainnya, Shukor Adan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan
akhir itu.
Dalam pada itu, Mohamad ketika
ditemui berkata, beliau kagum dengan kesungguhan dan prestasi yang ditunjukkan
oleh pemain.
Kita tak pernah ada hutang
dengan pemain dan gaji mereka dibayar tepat pada masanya, ini antara faktor
kemenangan.
Malah pemain juga beraksi dengan
baik dan memberikan tumpuan sepenuhnya.
Kita akan memikirkan imbuhan
kepada pemain dan pegawai hasil daripada kemenangan ini, katanya.
Sementara itu, Annuar yang
diminta mengulas mengenai aksi malam tadi berkata: Kita berpuas hati dengan
permainan malam ini. Bayangkan, ini kali pertama kita ke final, tapi orang
lupa.
Memang Negeri (Sembilan) bermain
dengan hebat terutama pada posisi tengah yang kental manakala kami di bahagian
yang sama tak berapa kuat ditambah dengan kejutan gol yang pertama.
Jadi ini pengalaman bagi kami.
memang saya faham penyokong hampa dan saya mewakili pasukan memohon maaf kerana
tidak dapat menunaikan harapan mereka.
Walau apa pun, saya merayu
kepada mereka supaya banyak bersabar, katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YcFulbxt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan