Isnin, 3 Disember 2018

Kemarau 61 tahun berakhir


ARKIB : 08/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD, FERZALFIE FAUZI dan ILAH HAFIZ AZIZ
sukan@utusan.com.my
Gambar - IZHAM JAAFAR, MOHD. NAZUDEEN MAHMUD dan FARIZUWAN
KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan mengakhiri kemarau 61 tahun untuk menjulang trofi teragung bola sepak negara, Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Sebaliknya malam malang penuh hampa buat Wira Merah kerana biarpun bertemankan majoriti penonton, mereka masih gagal mematahkan tanduk Si Rusa yang melonjak megah meraikan kejayaan bersejarah sekali gus memberikan hadiah tidak ternilai buat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang baru ditabalkan 26 Oktober lalu.

Jika bersandarkan sejarah kejohanan, inilah Piala Malaysia pertama yang berjaya menebus kehampaan Negeri Sembilan pada tahun 2000 dan 2006 setelah ditewaskan Perak dan Perlis pada perlawanan akhir.

Sebelum ini, Negeri Sembilan pernah sekali muncul juara iaitu pada 1948 ketika kejohanan ini menggunakan nama, Piala HMS-Malaya.

Dimulai Shahurain Abu Samah pada minit ke-18, disambung Hairuddin Omar seminit selepas rehat dan dilengkapkan Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak tanggal minit ke-59, tiada apa yang mampu dilakukan Kelantan melainkan memanjangkan penantian dan rasa kempunan yang mencecah 39 tahun untuk menikmati trofi itu.

Gol tunggal Kelantan pada masa kecederaan babak kedua pada minit ke-93 menerusi sepakan bebas ketua pasukannya, Indra Putra Mahayuddin sekadar satu sagu hati yang mengubat luka barisan Wira Merah yang terpaksa menelan hakikat pahit keputusan ini.

Kecuaian bek kiri Kelantan, Zamri Ramli mengawal bola daripada hantaran lambung ke kotak penalti menghukum pasukannya dengan gol pertama Negeri Sembilan hasil rembatan kencang Shahurain Abu Samah pada minit ke-18 tanpa mampu ditepis Mohd. Halim Napi.

Dua minit sebelum rehat, Hairuddin Omar nyaris melebarkan kedudukan Si Rusa dengan gol kedua tetapi tandukan kencangnya sekadar sipi beberapa inci daripada tiang gol Kelantan selepas mendapat umpanan lintang S. Kunanlan dari sebelah kiri.

Namun hanya seminit babak kedua bermula, Hairuddin menebus kegagalan itu dengan tandukan yang menjerat Halim secara solo hasil hantaran sebelah kiri gandingan serangannya, Zaquan Adha sekali gus menjelmakan gol kedua Negeri Sembilan.

Gol yang meragut 90 peratus semangat juang Kelantan itu muncul gara-gara sangkaan barisan belakangnya yang meleset bahawa Hairuddin yang dipinjam daripada T-Team bagi Piala Malaysia musim ini, sudah berada dalam keadaan ofsaid.

Zamri sekali lagi menambah derita Kelantan gara-gara menarik tangan Shahurain yang sudah mencerobohi kubunya pada minit ke-58 lantas menghadiahkan sepakan penalti buat Negeri Sembilan yang tenang disudahkan Zaquan Adha seminit kemudian.

Ketinggalan tiga gol itu hanya tambah memberangkan penyokong Si Kijang yang bukan sahaja beransur-ansur meninggalkan tempat duduk bahkan melontar pelbagai objek termasuk mercun sehingga berkepul-kepul asap tebal di ruang angkasa gelanggang tanda tidak puas hati.

Malah ada diantaranya membakar kerusi di tempat duduk penonton.

Perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM itu turut disaksikan Tuanku Muhriz di samping Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Negeri Sembilan mendapat hadiah bonus apabila pemainnya, Shukor Adan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu.

Dalam pada itu, Mohamad ketika ditemui berkata, beliau kagum dengan kesungguhan dan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain.

“Kita tak pernah ada hutang dengan pemain dan gaji mereka dibayar tepat pada masanya, ini antara faktor kemenangan.

“Malah pemain juga beraksi dengan baik dan memberikan tumpuan sepenuhnya.

“Kita akan memikirkan imbuhan kepada pemain dan pegawai hasil daripada kemenangan ini,” katanya.

Sementara itu, Annuar yang diminta mengulas mengenai aksi malam tadi berkata: “Kita berpuas hati dengan permainan malam ini. Bayangkan, ini kali pertama kita ke final, tapi orang lupa.

“Memang Negeri (Sembilan) bermain dengan hebat terutama pada posisi tengah yang kental manakala kami di bahagian yang sama tak berapa kuat ditambah dengan kejutan gol yang pertama.

“Jadi ini pengalaman bagi kami. memang saya faham penyokong hampa dan saya mewakili pasukan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan harapan mereka.

“Walau apa pun, saya merayu kepada mereka supaya banyak bersabar,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YcFulbxt
© Utusan Melayu (M) Bhd

NS, 3 kelab tumpuan suku akhir


ARKIB : 20/10/2009
Oleh HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - KL PLUS, KM Naza dan Johor FC terus cuba menjejak kejayaan MPPJ bergelar kelab pertama menjulang Piala Malaysia pada 2003 manakala kekebalan Negeri Sembilan turut teruji lagi pada suku akhir pertama persaingan berprestij bola sepak negara, malam ini.

Masih ada maruah bola sepak Kuala Lumpur, Kedah dan Johor yang terpikul di bahu anak buah Mat Zan Mat Aris, Nidzam Adzha Yusof dan Ramlan Rashid namun persoalannya, apakah perjuangan mereka direstui penyokong pasukan negeri itu yang telah kecundang di peringkat kumpulan?

Status dan nama mereka mungkin berlainan malah tidak segah negeri namun jika mutu permainan bola sepak yang dipaparkan itu sentiasa meningkat dan terpuji, tiada salahnya peluang dan sokongan peminat di Cheras, Paroi dan Pasir Gudang dialihkan kepada tiga kelab ini.

Reputasi tanpa kalah milik juara Kumpulan B Si Rusa bimbingan Wan Jamak Wan Hassan pasti dicemburui KM Naza yang turut mengidam gelaran 'Pemusnah Gergasi' terus dilabelkan pada mereka selepas menumbangkan Selangor 3-2 di Alor Setar, minggu lalu.

Malah perlu diingat bahawa Merah Kuning, pemenang tiga piala musim ini, nyaris kecundang kerana ditinggalkan dua gol oleh kelab Kedah ini di Stadium Shah Alam sebelum terpaksa tuan rumah mengerah pengalaman dan memulihkan ketahanan mental mereka untuk menang 3-2.

Misi Negeri Sembilan mempertahankan reputasi itu sebenarnya lebih perit daripada memburunya apatah lagi KM Naza membariskan orang lama seperti B. Rajnikandh, Anuar Jusoh, Liew Kit Kong dan Akmal Rizal Rakhli yang mungkin mempunyai resipi tertentu untuk dihidangkan secara 'mengejut' di Paroi.

Namun pandangan jurulatih Selangor, K. Devan agak berlainan kerana menganggap Terengganu yang bakal dihadapinya di Shah Alam, jauh lebih handal daripada ketiga-tiga lawan anak buahnya dalam Kumpulan D lalu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

"Kami menang 3-1 di Shah Alam dan kalah 2-1 di Kuala Terengganu dalam kedua-dua pusingan Liga Super musim ini namun inilah sebenarnya pasukan yang wajar diberikan lebih perhatian berbanding tiga pasukan peringkat kumpulan lalu.

"Kami mahu menyerang habis-habisan kerana perlukan bekalan gol yang selesa sebelum bertandang ke sana tetapi kami percaya lawan akan lebih banyak bertahan dalam pertemuan pertama ini," kata Devan kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dia cukup arif bahawa Ken Worden akan memainkan peranan penting dalam mendidik barisan belakangnya menutup segala ruang buat Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Amri Yahyah, Rudie Ramli dan R. Surendren kerana setiap inci yang terbolos bererti bahaya besar buat Terengganu.

Turut menarik dalam peringkat kalah mati Piala Malaysia ini ialah kemaraan KL PLUS yang memintas Perlis sebagai juara Kumpulan A di samping gandingan berbisa Fadzli Saari-Haris Safwan Kamal yang terus ditagih untuk menggoncang Kelantan.

"Selain mereka saya harapkan kelebihan gelanggang sendiri mampu membantu kami mendapatkan modal suku akhir pertama walaupun saya tahu penyokong Kelantan akan hadir lebih ramai di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

"Saya percaya mungkin jika Khalid Jamlus tidak diturunkan pun, pelawat masih memiliki ramai pemain kebangsaan dan berpengalaman seperti Nor Farhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin, jadi kami akan sentiasa berhati-hati dan sedia menghadapi apa sahaja," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YbeA7dkk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 2 Disember 2018

Malam pesta gol

 
ARKIB : 07/10/2009
Pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Pulau Pinang ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan Kumpulan E Piala Malaysia di Stadium Muhammed IV, Kota Bharu, malam tadi. Kelantan menang 2-1. - UTUSAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR - Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, semalam menyaksikan beberapa pasukan pilihan berpesta gol dengan menang jaringan besar.

Pasukan yang menang bergaya adalah Terengganu, Perak, Perlis, Johor FC, Selangor Kedah dan Kuala Muda Naza.

Pasukan yang mencatat kemenangan paling besar, semalam adalah Terengganu yang membelasah Sarawak 7-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun kejayaan Terengganu itu masih meletakkan kedudukan mereka di bawah Negeri Sembilan yang terus mencatat kemenangan buat kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Johor 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk mengungguli Kumpulan B.

Perak pula merampas teraju Kumpulan C daripada Johor FC dengan membelasah UPB-MyTeam 6-1 di Stadium Perak dengan Razali Umar Kandasamy dan Azrul Azran Aminuddin masing-masing menyumbang dua gol.

Johor FC walaupun turut mencatat kemenangan yang agak besar iaitu 4-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium JCorp, Pasir Gudang tetapi terpaksa akur dengan kelebihan perbezaan jaringan yang dimiliki Perak.

Perlis pula membelasah Melaka 5-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar dengan Nizaruddin Yusof menyumbat dua gol di samping masing-masing satu gol menerusi Azmizi Azmi, Mohd. Badrul Azam Zamri dan Mohd. Firdaus Fauzi.

Bagaimanapun, kemenangan itu gagal membantu Perlis memintas KL Plus yang terus menerajui Kumpulan A hasil kemenangan 3-1 ke atas Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Kumpulan D menyaksikan Selangor mengekalkan penguasaan di tempat teratas selepas menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Shah Alam.

Walaupun ketinggalan hasil gol Zainizam Marjan namun juara Liga Super itu bangkit dengan empat gol menerusi Mohd. Amri Yahyah (2), Safee Sali dan Hardi Jaafar.

Kuala Muda Naza pula mengekori belakang Selangor hasil kemenangan 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Aman, Alor Setar dengan Farderin Kadir menjaringkan dua gol sambil dibantu jaringan Akmal Rizal.

Kelantan biar pun mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah untuk menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir.

Pasukan paling lega semalam sudah pasti Kedah yang akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia musim ini dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaHYrziN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 30 November 2018

Kedah tambah derita


ARKIB : 04/10/2009
KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Kedah terus dirundung malang apabila tewas lagi, kali ini kepada Pulau Pinang dalam aksi Kumpulan E, Piala Malaysia, semalam.

Lebih malang kekalahan 0-1 itu terhasil di tempat sendiri, Stadium Darul Aman yang pernah menjadi gelanggang keramat dan kebal mereka sebelum ini.

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut Kedah sejak memulakan kempen Piala Malaysia pada 26 September lalu.

Pasukan yang dibimbing Mohd. Azraai Khor Abdullah yang belum lagi mencatat kemenangan, sebelum ini seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tempat sendiri dan tewas 0-1 kepada Kelantan di tempat lawan.

Gol kemenangan Pulau Pinang semalam dijaringkan Rafiuddin Roddin yang menambah derita Kedah menerusi sepakan percuma cantik pada minit ke-64.

Jiran Kedah iaitu Perlis turut menerima kejutan di tempat sendiri semalam apabila tewas 1-2 kepada KL PLUS dalam saingan Kumpulan A.

Negeri Sembilan pula mencipta kemenangan ketiga berturut-turut semalam dengan menewaskan Terengganu 1-0 di tempat lawan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YM2Lodqb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 27 Oktober 2018

IMBASAN PIALA MALAYSIA 2001 TERENGGANU 1-0 PERAK

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

PERAK: Azlishan Ibrahim, A. Victor, Chan Kok Heng, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Wing Hoong, Azrul Amri Burhan (Norizam Ali Hassan), Indraz Putra Mahayudin, Syamsul Saad (Faizal Zainal), K. Nanthakumar, Mohd. Rafdi Rashid, Khalid Jamlus.

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Subri Sulong, Abd. Ghani Malek, Mohd. Nafuzi Zain (Nor Fazly Alias), Sapian Wahid (Alfian Aziz), Rosdi Talib, Wan Rohaimi Ismail, Zulharisam Awang, Marzuki Yusof, Faziallah Mamat, Hairuddin Omar (Shahrulnizam Sahat).[1]


[1]http://ww1.utusan.com.my/utusan

Jumaat, 5 Oktober 2018

Rantai Safawi deh!

MyMetroArena
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
 
KUALA TERENGGANU: Sebelum ini pertahanan kental skuad Terengganu FC (TFC), Kamal Azizi Zabri rakan sepasukan dengan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid ketika menyarung jersi T-Team pada 2016.

Malah dua pemain itu antara tonggak penting jurulatih The Titans kelahiran Indonesia ketika itu, Rahmad Darmawan dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia musim itu sebelum tunduk kepada Selangor dengan agregat 1-5.

Namun ia drama yang sudah menjadi lipatan sejarah dan kini dua pemain muda itu sudah memilih haluan berbeza dan bakal ‘bermusuh’ seketika apabila bertembung pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

“Secara peribadi, ini separuh akhir kedua saya dalam Piala Malaysia dengan dua pasukan berbeza dan sudah tentu saya mahu memberikan aksi terbaik 100 peratus selepas gagal layak ke final ketika menyarung jersi T-Team tiga tahun lalu.

“Saya juga sudah bersedia untuk merantai pergerakan Safawi yang juga bekas rakan sepasukan biarpun pemain itu kini semakin mencipta nama bersama JDT dan skuad kebangsaan,” kata Kamal yang lebih mesra dipanggil ‘Ayoh’.

Ketika ditanya prestasi semasa juara bertahan itu, anak jati kelahiran Bukit Perah Ajil, Kuala Berang itu mengakui skuad Harimau Selatan antara pasukan terbaik Liga Malaysia dan sudah tentu pencabarnya perlu mempunyai strategi ampuh untuk menundukkan mereka.

“Hakikatnya kami sudah bersedia dan tidak gentar dengan reputasi skuad Harimau Selatan, apatah lagi pasukan itu sudah tidak kebal apabila tewas kepada Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan serta terbaharu kepada skuad Liga Perdana, MIFA.

“Kami mahu mencipta sejarah meraih kejuaraan kerana Piala Malaysia ada prestijnya tersendiri. Dengan semangat kekeluargaan yang begitu akrab dalam kalangan rakan, saya percaya kami mampu mara ke final,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 8:11 P

Sabtu, 29 September 2018

Safawi 'tidurkan' Tok Gajah di Larkin

MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
 
JOHOR BAHRU: Safawi Rasid muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila meledak dua gol untuk menewaskan Pahang 2-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu selepas mara menerusi agregat 3-1 dan akan berdepan Terengganu pada aksi separuh akhir.

JDT merobek semangat skuad Tok Gajah seawal minit pertama menerusi gerakan menarik dimulakan Fernando Elizari yang bertindak mengumpan bola kepada Ahmad Hazwan Bakri yang kemudian menyilang umpanan untuk Safawi.

Safawi yang tidak dikawal mudah melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Helmi Eliza Elias.

ADVERTISING

Ahmad Hazwan yang menjadi perancang gol pertama hampir menambah derita skuad Tok Gajah pada minit kesembilan namun dia yang menerima umpanan Safawi sekadar menggegar palang ketika Helmi Eliza sudah tertewas.

Pelawat yang ketinggalan cuba bangkit dengan mengatur gerakan namun keampuhan benteng tuan rumah yang diterajui Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya menghalang gerakan berbahaya anak didik Dollah Salleh.

Bersambung babak kedua, pelawat makin garang untuk memburu gol penyamaan memaksa benteng tuan rumah bertungkus lumus menghalang kelicikan Nor Shahrul Idlan Talaha yang sentiasa cuba menyusup masuk ke dalam kotak penalti.

Tuan rumah yang sedar gol tunggal itu masih belum mampu menyelamatkan mereka hampir menambah jaringan pada minit ke-56 namun bola rembatan deras Gonzalo Cabrera ketika berada di dalam kotak penalti hanya sipi dari gawang gol.

Safawi kemudian membuktikan dia berada kelas tersendiri apabila menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-73 selepas pantas menyambar bola umpanan Natxo Insa sebelum memperdaya Helmi Eliza.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan kemenangan itu turut menebus kehampaan JDT ketika tewas 0-3 kepada Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala FA pada 20 April lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 11:46 PM


Ahad, 5 Ogos 2018

Kedah gagal menyengat

MyMetroArena
Oleh Izzali Ismail
 
ALOR SETAR: Kedah kempunan meraih mata penuh apabila sekadar seri 0-0 berdepan Kelantan pada aksi Kumpulan C  Piala Malaysia di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Keputusan ini jelas mengecewakan Kedah yang mahu mencari tiga mata awal dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.

Kedah memperoleh peluang menerusi sepakan percuma seawal minit pertama hasil cubaan pemain import Sandro Da Silva namun melepasi palang gol Kelantan.

Selang enam minit kemudian, Kedah sekali lagi mendapat peluang menerusi Akram Mahinan yang membuat kuisan hasil dari hantaran pantas Hidhir Idris dari sebelah kanan namun berjaya ditepis penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin.

Kelantan cuba bangkit dengan sepakan percuma Syafiq Shaharudin pada minit ke-14 tetapi penjaga gol Kedah, Ramdhan Hamid lebih bersedia dengan menepis bola keluar.

Kedah terus berusaha memburu gol hingga penghujung separuh masa pertama menerusi Akram Mahinan, Sandro Da Silva dan juga Andik Vermasyah yang dimasukkan pada hujung babak pertama tetapi masih buntu menghasilkan gol.

Bermula babak kedua perlawanan, Kedah terus memperkukuhkan jentera serangan dengan memasukkan  penyerang utama, Paulo Rangel dan Syazwan Zainon dengan Rangel hampir menghadiahkan gol untuk Kedah pada minit ke-71 namun peluang terhidang itu dilepaskan begitu saja.

Lima minit kemudian, Christianon Marcolino hampir membolosi pintu gol Kedah namun percubaannya melepasi palang.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 11:45 PM