ARKIB : 13/07/2008
TONGGAK tengah Kedah, Mohd.
Fazli Baharom (kiri) diasak oleh pemain Kuala Lumpur dalam saingan bola sepak
Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.
KUALA LUMPUR - UPB-MyTeam yang
sudah mengesahkan kedudukan sebagai pasukan pertama layak ke suku akhir Piala
Malaysia tewas mengejut kepada Johor PG 1-2 di Stadium Bandaraya Petaling Jaya,
semalam.
Ini merupakan kekalahan sulung
UPB-MyTeam dalam kempen Piala Malaysia musim ini selepas tujuh perlawanan.
Sebelum ini pasukan bimbingan
Bojan Hodak mencipta enam kemenangan berturut-turut tanpa mencicirkan satu mata
pun.
Kekalahan pendahulu Kumpulan C
itu bagaimanapun tidak banyak membantu Johor PG untuk mencerahkan peluang ke
suku akhir ketka saingan peringkat kumpulan berbaki dua atau tiga perlawanan
sahaja lagi.
Sebaliknya ia memberi ruang
lebih terbuka kepada Perlis dan Perak untuk mengiringi UPB-MyTeam daripada
Kumpulan C ke suku akhir.
Ini selepas menyaksikan Perlis
menang 4-1 ke atas Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan manakala Perak
membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang, semalam.
Saingan dalam Kumpulan A pula
menyaksikan perebutan tempat ke suku akhir bertambah sengit apabila dua pasukan
teratas, Kelantan dan Negeri Sembilan tewas di tempat sendiri.
Kelantan tewas 0-1 kepada
jiran, Terengganu di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu manakala Negeri
Sembilan tewas 1-2 kepada Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Keputusan itu membolehkan
keempat-empat pasukan memiliki peluang yang seimbang untuk ke suku akhir.
Satu lagi perlawanan
membabitkan dua pasukan tercorot Kumpulan A menyaksikan Sarawak menewaskan
Melaka 4-1 di Stadium Sarawak Kuching.
Juara bertahan, Kedah pula
terus memperbaiki kedudukan untuk layak ke suku akhir selepas membenam Kuala
Lumpur 4-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Bagaimanapun pasukan bimbingan
Azrai Khor Abdullah itu masih perlu mengatasi saingan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan Johor FC yang turut mencatat kemenangan semalam.
PDRM menewaskan Pulau Pinang
3-1 di Stadium Bandaraya. Begitu juga Johor FC yang menewaskan Sabah di Stadium
Pasir Gudang.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zjpVuo7I
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan