ARKIB : 28/06/2008
Penjaga gol Kuala Lumpur,
Saiful Amar Sudar (kiri) berjaya menyelamatkan situasi bahaya di depan pintu
gol daripada asakan Ahmad Fauzi Shaari (kanan) dalam saingan Piala Malaysia di
Alor Star, malam tadi.
- Gambar KAMAL BASIR
KUALA LUMPUR - Saingan Piala Malaysia
penuh dengan kejutan, semalam apabila pasukan-pasukan pilihan tumpas tanpa
diduga.
Paling mengejutkan membabitkan
juara berganda, Kedah yang tewas tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur di gelanggang
keramat mereka, Stadium Darul Aman dalam saingan Kumpulan B.
Stanley Bernard menjadi
pemusnah juara Liga Super dan Piala FA itu menerusi jaringan pada minit ke-69.
Ternyata perlawanan malam tadi
bukan milik Kedah. Walaupun menguasai permainan pada separuh masa kedua
menerusi asakan bertali arus, serangan-serangan skuad Hijau Kuning sering kali
tersasar atau diselamatkan penjaga gol Kuala Lumpur, Saiful Amar Sudar.
Turut kecundang ialah Selangor
yang dibelasah Negeri Sembilan 0-3 juga di gelanggang sendiri di Stadium Shah
Alam dalam saingan Kumpulan A.
Begitu juga dengan Terengganu
yang tewas mengejut 1-2 kepada negeri jiran, Kelantan di Stadium Sultan
Nasiruddin Shah.
Perak pula berpesta gol dengan
membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-0 di Stadium Perak dengan Carlos
Caceres menyumbat tiga gol untuk pasukan itu.
Dua gol dalam masa dua minit di
penghujung babak pertama pula membantu Perlis menewaskan Pahang 2-1 di Stadium
Utama Negeri, Kangar.
Sementara UPB-MyTeam bangkit
daripada ketinggalan untuk menang 3-2 ke atas Johor PG di tempat lawan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zcl0GpBb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan