ARKIB : 16/07/2005
Oleh: AMRAN MULUP
SHAH ALAM - Juara Piala
Malaysia musim lalu, Perlis mengharungi laluan paling mudah untuk mara ke suku
akhir Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan A manakala Selangor berada
dalam kumpulan maut, Kumpulan D.
Atas kertas, Perlis yang masih
segar dengan gelaran selaku juara Piala Liga Super musim 2005 dijangka tidak
menghadapi masalah berdepan dengan PKNS, Terengganu dan Sabah yang diletakkan
dalam kumpulan yang sama.
Jika mara ke suku akhir, Perlis
bakal menerima ujian paling getir untuk mengekalkan gelaran dan dijadualkan
bertemu sama ada Pahang atau Kedah dalam Kumpulan C - dua pasukan yang
disifatkan berpeluang mara ke suku akhir.
Ujian awal Perlis apabila
memulakan kempen pertama Piala Malaysia bertemu Sabah di Stadium Likas pada 6
Ogos ini.
Ketika Perlis mampu mengukir
senyum memulakan saingan pada 6 Ogos ini, Selangor yang penuh dengan tradisi
sejarah silam menjulang Piala Malaysia sebanyak 29 kali bakal berdepan tugas
paling getir.
Dalam undian yang dijalankan
disaksikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah, Selangor diletakan sekumpulan dengan juara Piala FA
musim lalu, Perak, MK Land dan Public Bank.
Selain Perak, Selangor turut
merasa getir berdepan dua wakil Lembah Klang, MK Land dan Public Bank.
Begitupun jika Selangor mara ke
suku akhir mereka dijangka melalui laluan mudah untuk ke separuh akhir dan
dijadualkan bertemu lawan daripada Kumpulan B sama ada Negeri Sembilan atau
Pulau Pinang yang dikatakan berpeluang muncul juara dan naib juara kumpulan.
Pertembungan Selangor dan Perak
sememangnya diramal sengit menyaksikan pertembungan dua jentera serangan paling
ampuh Bambang Pamungkas dan Frank Seator yang sukar untuk meramalkan kemenangan
berpihak kepada siapa.
Kelibat MK Land yang membuat
kejutan apabila menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Shah Alam pada saingan kedua
Liga Perdana boleh menjadi penghalang kemaraan Merah Kuning.
Bekas juara Liga Super musim
lalu, Pahang turut merintis laluan mudah untuk ke suku akhir setelah diundi
dalam Kumpulan C bersama-sama Kedah, juara Piala Malaysia 2003, MPPJ dan Johor
FC.
Atas kertas Kedah yang
menduduki tempat kedua Liga Perdana Kumpulan A dijangka tidak berdepan tugas
getir untuk mengikut jejak langkah Pahang mara ke suku akhir.
Kelibat dua pasukan berstatus
kelab iaitu MPPJ dan Johor FC berdasarkan aksi mereka di Liga Super dan Liga
Perdana merumuskan betapa mereka sukar untuk membenam Pahang atau Kedah.
Manakala dalam Kumpulan C
membariskan Telekom, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dilihat
mempunyai peluang yang sama.
Sukar untuk menentukan pasukan
yang mana lebih gah jika prestasi sewaktu Liga Super dan Liga Perdana diambil
kira.
Pada majlis yang sama juga,
penyerang Perlis, Zachariah Simukonda dinobatkan selaku pemenang `Kasut Emas'
Liga Super dengan keupayaan pemain itu menjaringkan 18 gol.
Manakala MK Land, Marlon Alex
James pula selaku pemenang `kasut emas' Liga Perdana apabila menjaringkan 23
gol.
Bagaimanapun, saingan Piala
Malaysia berbeza daripada Liga Super dan Liga Perdana, malah dianggap lebih
memberi tekanan kepada pasukan-pasukan yang bertanding.
Ini kerana pasukan-pasukan yang
gagal menyinar dalam Liga Super atau Liga Perdana pasti memberikan tumpuan yang
lebih kepada Piala Malaysia untuk sekurang-kurangnya membawa pulang sebuah
piala bagi musim 2005.
Setelah gelaran Liga Super
diraih Perlis dan saingan Piala FA menyaksikan hanya pasukan tertentu sahaja
layak ke perlawanan seterusnya, kumpulan yang gagal mengharungi cabaran sudah
pasti membuat persiapan rapi untuk membawa cabaran lebih bermakna dalam kempen
Piala Malaysia.
Sebagai contoh, Pahang dan
Kedah yang gagal menempa sebarang piala, sudah tentu mahu menjadikan Piala Malaysia
idaman mereka bagi menebus kekecewaan, khususnya skuad Kenari yang tewas dalam
perlawanan akhir piala berprestij itu bagi musim 2004.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iiorssOP
© Utusan Melayu (M) Bhd