ARKIB : 20/08/1999
SAINGAN merebut tempat ke Piala
Malaysia bermula hari ini tetapi kehadirannya seakan tidak dirasakan berikutan
persembahan buruk pasukan bola sepak kebangsaan gara-gara kekalahan teruk di
belasah Indonesia pada Sukan SEA XX di Brunei minggu lalu.
Tujuh pasukan - Kelantan,
Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Terengganu dan Johor mempunyai 'tanggungjawab
besar' untuk kembali menghidupkan suasana bola sepak tempatan yang kian muram
berikutan peristiwa pahit itu.
Brunei, yang sekian lama
menjadi pasukan undangan dalam liga bola sepak negara ini, melengkapkan satu
lagi slot untuk bersaing menempatkan diri dalam Piala Malaysia.
Daripada lapan pasukan yang
bersaing, hanya empat yang akan menyertai Pahang, Pulau Pinang, Negeri
Sembilan, Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah, Johor dan Selangor, yang sudah menempah
tiket lebih awal apabila layak secara automatik menerusi kedudukan dalam liga.
Perlawanan peringkat kelayakan
ini dibahagi kepada dua kumpulan. Kelantan, Perlis, Kedah dan Brunei
mengganggotai Kumpulan A sementara Perak, Terengganu, Johor FC dan Melaka
diletak dalam Kumpulan B.
Perlawanan sudah pastinya
tertumpu kepada pertemuan antara pasukan juara tahun lalu, Perak yang memulakan
cabaran menentang Melaka di Stadium Kubu, hari ini selain Kelantan menentang
Perlis.
Perak menghadapi tugas berat
kerana terpaksa berusaha mengembalikan reputasinya selaku juara bertahan
setelah terpaksa beraksi di peringkat kelayakan.
Apa yang 'menarik' dalam
persaingan bola sepak tempatan ialah kesukaran membuat ramalan.
Terengganu yang tewas kepada
Perak pada perlawanan akhir musim lalu turut bersaing di peringkat kelayakan.
Kehadiran dua pasukan finalis
dalam peringkat kelayakan ini nyata memberi gambaran terhadap mutu bola sepak
negara yang tidak menentu di persada antarabangsa.
Dua lagi perlawanan berlangsung
esok. Ia menampilkan pertemuan Kedah dengan Brunei sementara Terengganu
menentang Johor F.C yang berusaha menjadi kelab pertama beraksi dalam Piala
Malaysia.
Sementara itu, di Kota Bharu,
Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud
yakin Kelantan mampu memenangi perlawanan menentang Perlis hari ini.
Beliau yang juga pengurus
pasukan bangga dengan prestasi pemain-pemainnya dalam latihan.
''Mereka begitu komited,'' kata
beliau yang yakin Kelantan tidak akan gagal kali ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S8ex4tGo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan