ARKIB : 13/11/1999
DI SEBALIK kisah menarik Sang
Tebuan dan si Penyu yang kini sudah boleh ''bersantai,'' tumpuan perlu
diberikan kepada dua lagi pasukan yang bergelut untuk mencapai impian ke
separuh akhir Piala Malaysia menerusi penentuan dalam perlawanan terakhir
peringkat kumpulan malam ini.
Selepas Terengganu layak bagi
kumpulan A dan Brunei selaku wakil kumpulan B, pertarungan menarik tetap
tersaji dalam penentuan membabitkan lima pasukan (tiga kumpulan A dan dua lagi
kumpulan B).
Pastinya, pertarungan ''hidup
atau mati'' di antara dua pasukan terdesak dalam kumpulan A iaitu Perak dengan
Perlis penuh dengan aksi yang mendebarkan, bukan sahaja menjadi tarikan peminat
bola sepak tanah air malah Negeri Sembilan yang menentang Pulau Pinang di
Stadium Bandaraya.
Di Stadium Perak, skuad
''Seladang'' yang menduduki tangga keempat (13 mata) mengharapkan kejayaan
mengutip mata penuh ke atas penghuni tempat kedua, Perlis (15 mata) supaya
layak ke tangga kedua, sekali gus menempah tempat ke separuh akhir Piala
Malaysia.
Bagaimanapun, syaratnya masih
ketat kerana kemenangan Perak perlu disertai dengan kejayaan Pulau Pinang
menewaskan Negeri Sembilan dalam tempoh 90 minit permainan.
Harapan tersebut bukannya mudah
kerana Negeri Sembilan yang menduduki tangga ketiga (14 mata) juga akan
berhempas pulas untuk memastikan kemenangan ke atas Pulau Pinang kerana masih
mempunyai peluang untuk layak ke peringkat tersebut.
Selain mempunyai impian untuk
mencipta kemenangan ke atas Pulau Pinang, harapan Negeri Sembilan ialah untuk
menyaksikan Perlis tewas kepada Perak supaya hajat ke separuh akhir Piala
Malaysia tercapai.
Hanya Perlis tidak perlu
mengambil kira kedudukan pencabar lain sekiranya berjaya mencipta kemenangan
mata penuh ke atas Perak untuk mengumpul 18 mata, kedudukan tidak mampu
dipintas pasukan lain bagi melonjaknya ke tangga kedua di belakang Terengganu.
Ternyata, pemburuan satu lagi
tempat untuk ke separuh akhir bagi kumpulan A cukup mendebarkan kerana
membabitkan saingan tiga pasukan handalan iaitu Perlis, Negeri Sembilan dan
juara bertahan Piala Malaysia, Perak.
Berbanding ketiga-tiga pasukan
itu, persaingan kumpulan B di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan
menyaksikan penghuni tangga kedua (17 mata), Sarawak hanya perlu seri dengan
Brunei.
Keputusan seri, walaupun tewas
menerusi penentuan penalti tetap menyumbang satu mata buat Sarawak, seterusnya
mengumpul keseluruhan 18 mata, kedudukan tidak mampu dicabar walaupun pencabar
di tangga ketiga Pahang (14 mata) menang ke atas Sabah di Stadium Darulmakmur,
Kuantan.
Namun Pahang memasang
''angan-angan'' walaupun peluangnya begitu sukar kerana mengharapkan kemenangan
menerusi jaringan besar sementara Brunei menewaskan Sarawak.
Pahang memerlukan jaringan
besar kerana kemenangan sekadar memaksanya berkongsi 17 mata dengan Sarawak
sekiranya skuad ''Kenyalang'' tewas kepada Brunei sehingga memerlukan kiraan
jaringan bagi menentukan pasukan yang layak.
Berdasarkan kiraan tersebut, Sarawak
kini berbekal sembilan jaringan sama seperti Pahang tetapi kelebihan berpihak
kepada skuad ''Kenyalang'' kerana pintu golnya hanya dibolosi lima gol.''
Walaupun mempunyai kelebihan,
Sarawak jangan terlalu yakin kerana Brunei tetap mahukan kemenangan buat
menjaga maruah di gelanggang sendiri manakala Pahang pasti berhempas pulas
untuk menunaikan hajatnya di gelanggang sendiri.
Pertemuan di antara Kuala
Lumpur dengan Johor pula sekadar untuk memperbaiki kedudukan atau melengkapkan
jadual setelah masing-masing tersingkir daripada separuh akhir Piala Malaysia
lebih awal.
Selangor pula mengharapkan
kemenangan ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah walaupun
''terlambat'' kerana maruah tetap mahu dijaga.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Sbb9raxM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan