Ahad, 11 Disember 2016

Terengganu tidak takut hadapi lawan

ARKIB : 13/11/1999
JURULATIH Yunus Alif berkata Terengganu tidak gentar menghadapi pasukan mana sahaja dalam pertemuan separuh akhir pusingan pertama Piala Malaysia, Sabtu depan.

''Kita tidak kira pasukan mana yang akan kita lawan dalam separuh akhir nanti,'' katanya semalam.

Terengganu dan Brunei adalah dua pasukan yang telah mengesahkan tempat ke pertandingan separuh akhir. Lawan sebenar mereka hanya akan diketahui dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok.

Yunus berkata matlamat utama Terengganu ialah melangkah ke perlawanan akhir.

Ini bagaimanapun tidak bermakna Terengganu menganggap laluan peringkat separuh akhir sebagai mudah. Semua tenaga akan dikerahkan sehingga matlamat ke pertandingan akhir tercapai.

''Ia juga tidak bermakna bahawa pasukan Terengganu sudah terlalu bagus. Tetapi saya yakin matlamat kami itu akan tercapai,'' kata Yunus ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Yunus berkata, keyakinan itu kerana prestasi pasukan Terengganu kini amat menggalakkan terutama barisan serangan yang semakin matang. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4SbeTZBip © Utusan Melayu (M) Bhd

Hajat 'buruk' dua pasukan

ARKIB : 13/11/1999
DI SEBALIK kisah menarik Sang Tebuan dan si Penyu yang kini sudah boleh ''bersantai,'' tumpuan perlu diberikan kepada dua lagi pasukan yang bergelut untuk mencapai impian ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi penentuan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam ini.

Selepas Terengganu layak bagi kumpulan A dan Brunei selaku wakil kumpulan B, pertarungan menarik tetap tersaji dalam penentuan membabitkan lima pasukan (tiga kumpulan A dan dua lagi kumpulan B).

Pastinya, pertarungan ''hidup atau mati'' di antara dua pasukan terdesak dalam kumpulan A iaitu Perak dengan Perlis penuh dengan aksi yang mendebarkan, bukan sahaja menjadi tarikan peminat bola sepak tanah air malah Negeri Sembilan yang menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Di Stadium Perak, skuad ''Seladang'' yang menduduki tangga keempat (13 mata) mengharapkan kejayaan mengutip mata penuh ke atas penghuni tempat kedua, Perlis (15 mata) supaya layak ke tangga kedua, sekali gus menempah tempat ke separuh akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, syaratnya masih ketat kerana kemenangan Perak perlu disertai dengan kejayaan Pulau Pinang menewaskan Negeri Sembilan dalam tempoh 90 minit permainan.

Harapan tersebut bukannya mudah kerana Negeri Sembilan yang menduduki tangga ketiga (14 mata) juga akan berhempas pulas untuk memastikan kemenangan ke atas Pulau Pinang kerana masih mempunyai peluang untuk layak ke peringkat tersebut.

Selain mempunyai impian untuk mencipta kemenangan ke atas Pulau Pinang, harapan Negeri Sembilan ialah untuk menyaksikan Perlis tewas kepada Perak supaya hajat ke separuh akhir Piala Malaysia tercapai.

Hanya Perlis tidak perlu mengambil kira kedudukan pencabar lain sekiranya berjaya mencipta kemenangan mata penuh ke atas Perak untuk mengumpul 18 mata, kedudukan tidak mampu dipintas pasukan lain bagi melonjaknya ke tangga kedua di belakang Terengganu.

Ternyata, pemburuan satu lagi tempat untuk ke separuh akhir bagi kumpulan A cukup mendebarkan kerana membabitkan saingan tiga pasukan handalan iaitu Perlis, Negeri Sembilan dan juara bertahan Piala Malaysia, Perak.

Berbanding ketiga-tiga pasukan itu, persaingan kumpulan B di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan menyaksikan penghuni tangga kedua (17 mata), Sarawak hanya perlu seri dengan Brunei.

Keputusan seri, walaupun tewas menerusi penentuan penalti tetap menyumbang satu mata buat Sarawak, seterusnya mengumpul keseluruhan 18 mata, kedudukan tidak mampu dicabar walaupun pencabar di tangga ketiga Pahang (14 mata) menang ke atas Sabah di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Namun Pahang memasang ''angan-angan'' walaupun peluangnya begitu sukar kerana mengharapkan kemenangan menerusi jaringan besar sementara Brunei menewaskan Sarawak.

Pahang memerlukan jaringan besar kerana kemenangan sekadar memaksanya berkongsi 17 mata dengan Sarawak sekiranya skuad ''Kenyalang'' tewas kepada Brunei sehingga memerlukan kiraan jaringan bagi menentukan pasukan yang layak.

Berdasarkan kiraan tersebut, Sarawak kini berbekal sembilan jaringan sama seperti Pahang tetapi kelebihan berpihak kepada skuad ''Kenyalang'' kerana pintu golnya hanya dibolosi lima gol.''

Walaupun mempunyai kelebihan, Sarawak jangan terlalu yakin kerana Brunei tetap mahukan kemenangan buat menjaga maruah di gelanggang sendiri manakala Pahang pasti berhempas pulas untuk menunaikan hajatnya di gelanggang sendiri.

Pertemuan di antara Kuala Lumpur dengan Johor pula sekadar untuk memperbaiki kedudukan atau melengkapkan jadual setelah masing-masing tersingkir daripada separuh akhir Piala Malaysia lebih awal.

Selangor pula mengharapkan kemenangan ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah walaupun ''terlambat'' kerana maruah tetap mahu dijaga.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Sbb9raxM © Utusan Melayu (M) Bhd


Khamis, 8 Disember 2016

Piala Malaysia ke-33 -- Undian 'kejam' kumpulan B

ARKIB : 13/09/1999
UNDIAN Piala Malaysia ke-33 mungkin bersifat 'kejam' buat tiga pasukan dalam kumpulan B sebaliknya agak selesa bagi kumpulan A yang mengekalkan dua anggota yang sama daripada persaingan play-off.

Selepas majlis undian oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), B juga boleh dianggap sebagai 'kumpulan maut' apabila tiga daripada anggotanya ialah Pahang, Johor dan Kuala Lumpur.

kumpulan ini ternyata lebih mencabar berbanding kumpulan A dengan Pahang dan Johor bermodalkan gelaran Perdana Satu dan Dua sambil Kuala Lumpur masih lagi disegani selaku pemilik Piala FA.

Sabah dan Sarawak turut menganggotai kumpulan B dan satu lagi kuota bakal diisi oleh pasukan yang bergelar juara kumpulan A daripada pusingan play-off yang berakhir esok.

Manakala kumpulan A menemukan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor di samping juara dan naib juara play-off kumpulan B dan pasukan di tempat kedua kumpulan A.

Majlis undian itu dilakukan oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, semalam.

Persaingan untuk meraih dua tempat ke Piala Malaysia menerusi play-off kumpulan B masih lagi terbuka kepada tiga pasukan teratas _ Terengganu, Perak dan Melaka.

Sebaliknya Perlis dan Brunei walaupun sudah layak ke Piala Malaysia musim ini sebagai wakil kumpulan A play-off, perlu menentukan siapa yang patut bergelar juara dan naib juara.

Penentuan ini semakin penting apatah lagi Perlis dan Brunei masing-masing sudah tentu berusaha untuk mengelak daripada menghuni 'kumpulan maut' B Piala Malaysia lantas memilih laluan lebih selesa dalam kumpulan A.

Namun antara Perak, Terengganu dan Melaka jika mereka melepasi play-off sekalipun, masih perlu berentap sesama sendiri sekali lagi apabila melangkah ke Piala Malaysia yang bermula 25 September ini.

Sementara itu, Naib Presiden I Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Jamal Nasir mengakui, tekanan memang memihak kepada skuad Tok Gajah apabila menilai undian itu.

''Tekanan pasti wujud kerana selaku juara liga, semua orang mengharapkan Pahang sentiasa menang. Kami turut akan menjadi buruan lawan yang mengidamkan kejutan,'' kata Jamal.

Bagi jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris pula, dia tidak menghiraukan tentang reputasi lalu pasukannya sendiri mahupun lawan Kumpulan B kerana lebih memikirkan persembahan semasa di atas padang.

''Yang penting, kami mahu bersikap positif apabila bertarung,'' kata Mat Zan yang memimpin skuad Helang bergelar juara Piala FA menewaskan Terengganu menerusi sepakan penalti.

Jurulatih Pulau Pinang, Moey Yoke Ham bagaimanapun tidak memandang rendah kemampuan lawan anak buahnya terutama tiga pasukan daripada play-off yang menganggotai kumpulan A.

''Berbeza dengan kami yang telah lama berehat panjang, pasukan play-off memiliki kelebihan dari segi ketahanan pemain mereka kerana masih segar dengan persaingan sebenar,'' kata Moey.

''Ditempatkan ke kumpulan A dianggap satu bonus bagi Selangor namun saya tidak akan mendesak pemain dengan tekanan yang berlebihan pada Piala Malaysia,'' kata jurulatih Merah Kuning, K. Rajagopal.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Anifah Aman memberitahu, pasukannya akan kembali menggunakan khidmat Ken Shellito sebagai jurulatih menghadapi Piala Malaysia.

''Sabah bertanding tanpa sebarang sasaran namun perlawanan pertama bakal menjadi pengukur kemampuan kami,'' kata Anifah.

Jadual pusingan pertama: 25 September - B1 lwn N. Sembilan; A2 lwn Selangor; B2 lwn P. Pinang; Pahang lwn Johor; Sarawak lwn Sabah; A1 lwn K. Lumpur.

28 September - P. Pinang lwn B1; N. Sembilan lwn A2; Selangor lwn B2; K. Lumpur lwn Pahang; Johor lwn Sarawak; Sabah lwn A1

2 Oktober - Selangor lwn N. Sembilan; A2 lwn P. Pinang; B1 lwn B2; Sabah lwn Johor; Sarawak lwn K. Lumpur; Pahang lwn A1.

9 Oktober - B1 lwn A2; P. Pinang lwn Selangor; B2 lwn N. Sembilan; Pahang lwn Sarawak; K. Lumpur lwn Sabah; A1 lwn Johor.

16 Oktober - N. Sembilan lwn P. Pinang; Selangor lwn B1; A2 lwn B2; Johor lwn K. Lumpur; Sabah lwn Pahang; Sarawak lwn A1.

Pusingan kedua: 23 Oktober - N. Sembilan lwn B1; Selangor lwn A2; P. Pinang lwn B2; Johor lwn Pahang; Sabah lwn Sarawak; K. Lumpur lwn A1;

30 Oktober - B1 lwn P. Pinang; A2 lwn N. Sembilan; B2 lwn Selangor; Pahang lwn K. Lumpur; Sarawak lwn Johor; A1 lwn Sabah.

2 November - N. Sembilan lwn Selangor; P. Pinang lwn A2; B2 lwn B1; Johor lwn Sabah; K. Lumpur lwn Sarawak; A1 lwn Pahang.

16 November - A2 lwn B1; Selangor lwn P. Pinang; N. Sembilan lwn B2; Sarawak lwn Pahang; Sabah lwn K. Lumpur; Johor lwn A1.

13 November - P. Pinang lwn N. Sembilan; B1 lwn Selangor; B2 lwn A2; K. Lumpur lwn Johor; Pahang lwn Sabah; A1 lwn Sarawak.

(* A1, A2, B1 dan B2 merupakan pasukan daripada play-off).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SFvok6qj © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 7 Disember 2016

Play-off Piala Malaysia tidak dapat perhatian

ARKIB : 20/08/1999
SAINGAN merebut tempat ke Piala Malaysia bermula hari ini tetapi kehadirannya seakan tidak dirasakan berikutan persembahan buruk pasukan bola sepak kebangsaan gara-gara kekalahan teruk di belasah Indonesia pada Sukan SEA XX di Brunei minggu lalu.

Tujuh pasukan - Kelantan, Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Terengganu dan Johor mempunyai 'tanggungjawab besar' untuk kembali menghidupkan suasana bola sepak tempatan yang kian muram berikutan peristiwa pahit itu.

Brunei, yang sekian lama menjadi pasukan undangan dalam liga bola sepak negara ini, melengkapkan satu lagi slot untuk bersaing menempatkan diri dalam Piala Malaysia.

Daripada lapan pasukan yang bersaing, hanya empat yang akan menyertai Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah, Johor dan Selangor, yang sudah menempah tiket lebih awal apabila layak secara automatik menerusi kedudukan dalam liga.

Perlawanan peringkat kelayakan ini dibahagi kepada dua kumpulan. Kelantan, Perlis, Kedah dan Brunei mengganggotai Kumpulan A sementara Perak, Terengganu, Johor FC dan Melaka diletak dalam Kumpulan B.

Perlawanan sudah pastinya tertumpu kepada pertemuan antara pasukan juara tahun lalu, Perak yang memulakan cabaran menentang Melaka di Stadium Kubu, hari ini selain Kelantan menentang Perlis.

Perak menghadapi tugas berat kerana terpaksa berusaha mengembalikan reputasinya selaku juara bertahan setelah terpaksa beraksi di peringkat kelayakan.

Apa yang 'menarik' dalam persaingan bola sepak tempatan ialah kesukaran membuat ramalan.

Terengganu yang tewas kepada Perak pada perlawanan akhir musim lalu turut bersaing di peringkat kelayakan.

Kehadiran dua pasukan finalis dalam peringkat kelayakan ini nyata memberi gambaran terhadap mutu bola sepak negara yang tidak menentu di persada antarabangsa.

Dua lagi perlawanan berlangsung esok. Ia menampilkan pertemuan Kedah dengan Brunei sementara Terengganu menentang Johor F.C yang berusaha menjadi kelab pertama beraksi dalam Piala Malaysia.

Sementara itu, di Kota Bharu, Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud yakin Kelantan mampu memenangi perlawanan menentang Perlis hari ini.

Beliau yang juga pengurus pasukan bangga dengan prestasi pemain-pemainnya dalam latihan.

''Mereka begitu komited,'' kata beliau yang yakin Kelantan tidak akan gagal kali ini.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S8ex4tGo © Utusan Melayu (M) Bhd