ARKIB : 30/04/2007
KUALA LUMPUR Saingan memburu
tempat ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia kian sampai ke penghujung dengan
baki dua perlawanan bakal menjadi penentu buat lapan pasukan mengisi tempat
tersebut.
Selepas mengharungi lapan
perlawanan masih belum ada pasukan yang mampu meloloskan diri ke suku akhir dan
pastinya perlawanan terakhir kumpulan pada 26 Mei nanti akan menjadi penentu.
Tiga pasukan yang membabitkan
pendahulu setiap kumpulan iaitu Selangor dengan 16 mata, Terengganu (17) dan
Kedah (16) hanya memerlukan satu kemenangan sahaja buat mengesahkan tempat ke
suku akhir yang akan berlangsung Jun nanti.
Saingan Sabtu ini, merupakan
perlawanan kesembilan setiap pasukan jelas amat penting buat ketiga-tiga
pasukan itu yang mesti meraih kemenangan.
Jika menang Selangor,
Terengganu dan Kedah sudah menempah tempat ke suku akhir berbanding beberapa
pasukan lain yang terpaksa bergelut dalam dua baki perlawanan lagi bagi
menentukan tempat mereka.
Selangor yang menewaskan Perlis
1-0 Sabtu lepas, akan menanti kunjungan Johor FC di Stadium Shah Alam, tugas
mudah buat skuad bimbingan jurulatih Dollah Salleh.
Skuad Merah Kuning tidak
mempunyai banyak pilihan dan mesti menewaskan Johor FC lawan yang turut memburu
kemenangan buat mencerahkan laluan dalam kelompok lapan pasukan.
Begitu juga Terengganu yang
mencipta rekod menewaskan ATM 9-1, jaringan terbesar dalam siri Piala Malaysia
setakat ini akan menanti jiran Kelantan, pertembungan paling sengit diramalkan.
Kelantan pastinya tidak mahu
kalah memandangkan mereka turut berpeluang untuk mara jika berjaya menewaskan
pendahulu Kumpulan B itu.
Kedah pula akan menjadi tuan
rumah dengan kedatangan pendahulu Liga Perdana, Polis di Stadium Darul Aman,
pastinya kelebihan memihak kepada skuad Hijau Kuning.
Turut berpeluang untuk mengisi
tempat ke suku akhir dalam Kumpulan A selepas Selangor ialah Perlis (11), Johor
FC (11), Johor Pasir Gudang (10) dan Telekom Melaka (10).
Persaingan empat pasukan
dianggap paling getir dengan masing-masing perlu memburu dua kemenangan yang
tinggal untuk menempah tempat dalam kelompok lapan pasukan.
Begitu juga saingan getir dalam
Kumpulan B sambil Terengganu selangkah kaki sudah ke suku akhir persaingan
membabitkan Negeri Sembilan Naza (15), Melaka (13) dan Kelantan (10) untuk
menentukan satu lagi tempat.
Dalam saingan Kumpulan C,
selepas Kedah persaingan tiga penjuru menjadi tumpuan di antara Perak (14),
Sabah (12) dan PDRM (11).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tYclII9v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan