ARKIB : 03/09/2006
PENYERANG Perlis, Zachariah
Simukonda (terbaring) disekat oleh pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal
(tengah) dalam perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala Malaysia di
Stadium Utama Kangar, malam tadi. Perlis dan Perak seri 0-0.
KANGAR Naib juara musim lalu,
Perlis gagal mengggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila
sekadar terikat 0-0 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Utama
Kangar, malam tadi lapor Metra Syahril Mohamad.
Gandingan mantap Philimon
Chepita dan Zachariah Simukonda jelas tumpul untuk mencipta jaringan apabila
rangkaian benteng pertahanan Perak bijak mengekang setiap gerakan dua pertama
hitam Perlis itu.
Malah, Perak yang mengharapkan
sentuhan Keita Mandjou dan Abdolaye Trarore juga turut hampa untuk menembusi
pertahanan Perlis.
Kehadiran kira-kira 25,000
penonton yang dikuasai sepenuhnya oleh penyokong skuad Singa Utara nyata tidak
mampu menyuntik kekuatan Perlis akur tanpa kelebihan jaringan sebagai bekalan
apabila berkunjung ke Stadium Perak, Sabtu depan.
Tekanan kini buat Perlis
bertandang ke tempat lawan apabila menyedari Perak cukup ampuh bermain di
tempat sendiri.
Sebaik babak bermula, jelas
menyaksikan penguasaan penuh skuad Singa Utara menerusi gandingan Chepita dan
Simukonda sering memberi ancaman di benteng pertahanan Perak.
Perlis memperoleh peluang pada
minit-minit awal perlawanan namun percubaan Azlan Ismail untuk memperoleh gol
gara-gara kesilapan pertahanan Perak, gagal disempurnakan.
Azlan sekali lagi mencuri
perhatian kira-kira 25,000 penonton pada minit kelapan menerusi sepakan kencang
jarak jauh tetapi tersasar ke kanan gawang lawan.
Pada minit ke-26, Azlan
menggamatkan Stadium Utama apabila meledakkan jaringan pembukaan, namun gol
tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Tersentak dengan percubaan
Azlan itu, penyerang Perak, Wong Sai Kong kemudiannya bergerak mengatur
strategi tetapi percubaannya pada minit ke-36, gagal menepati sasaran.
Sebaik babak kedua bermula,
Perlis terus menggandakan asakan mencari gol pembukaan tetapi sukar menembusi
benteng ampuh Perak.
Pada minit-minit akhir Perlis
terlepas peluang keemasan untuk memecah kebuntuan jaringan gol apabila sepakan
kencang Chepita terkena tiang gol.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4omf4EMj9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan