Sabtu, 19 Ogos 2017

Singa Afrika julang Perlis



ARKIB : 17/09/2006
Oleh: AMRAN MULUP, JOHARI SHAWAL dan NORZIE KHASBI
PENYERANG Perlis, Philimon Chipeta (kanan) menari sambil diraikan oleh rakan-rakannya selepas menjaringkan gol pertama pasukannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Tangan ajaib serta sentuhan Adrien Jurad Chamrong menjadi nadi buat Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda menjaringkan gol kemenangan membantu Perlis menjuarai Piala Malaysia Edisi Ke-38 menewaskan Negeri Sembilan Naza 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Buat Perlis kemenangan ini adalah buat kali kedua dalam sejarah mendakap piala paling berprestij dengan kemaraan ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus memadamkan impian NS Naza mahu menamatkan kemarau 58 tahun menjulang piala tersebut pada 1948.

Di hadapan kira-kira 40,000 penyokong melihat kehebatan skuad Singa Utara yang juga naib juara Piala FA mendominasi perlawanan sejak dari babak bermula namun kebangkitan NS Naza di lewat permainan sudah terlambat.

Gol pertama Singa Utara hadir mengimbas situasi yang sama diilhamkan oleh Jurad Chamrong menerusi lontaran ke dalam dari jarak terus menerjah jaring ketika Perlis dinobatkan selaku juara Piala Malaysia pada 2004 menewaskan Kedah 1-0.

Kelibat Jurad Chamrong sekali lagi menepati sasaran apabila sepakan percuma pada minit ke-76 mudah ditanduk kencang oleh Simukonda memahatkan kemenangan paling manis buat Perlis bagi musim 2005-2006

Hanya tiga minit permainan bermula Perlis lebih pantas mencipta jaringan menerusi tandukan Philimon Chipeta menewaskan penjaga gol NS Naza, Azizon Abd. Kadir.

Berpunca daripada lontaran jauh ke dalam oleh Adrien Jurad Chamrong tepat ke arah Chipeta yang terus menanduk masuk mengenai tiang sebelum bola bergolek masuk menggegar jaring.

NS Naza yang tersentak dengan jaringan tersebut cuba mencari gol penyamaan menerusi gandingan Christian Bekamenga dan Buston Brown tetapi sukar menembusi benteng mantap skuad Singa Utara.

Sebaliknya Perlis jelas menonjol menguasai pentas saingan dengan kelincahan Chipeta dan Zacharia Simukonda sering mencemaskan benteng pertahanan lawan.

Pada minit ke-59 Chipeta sekali lagi hampir-hampir menambah gol kedua Perlis apabila sepakan kencangnya berjaya ditampan keluar oleh Azizon.

NS Naza berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-70 namun sepakan kencang Brown ditepis keluar oleh Tay Sin Kiat.

Pada minit ke-76 Perlis menambah cengkaman apabila giliran Simukonda menanduk masuk gol kedua namun NS Naza merapatkan jurang dengan gol dihasilkan pada minit ke-82 hasil jaringan Christian Bekamenga.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4qDNIHHah
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis atau NS Naza - Perlawanan akhir Piala Malaysia



 
ARKIB : 16/09/2006
Oleh: AMRAN MULUP
KAPTEN Negeri Sembilan Naza, Khairul Anuar Baharom (kiri) dan kapten Perlis, Manzoor Azwira bersama Piala Malaysia yang menjadi rebutan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

KUALA LUMPUR – Selepas kempunan menjulang Piala Malaysia musim lalu, Perlis tidak lagi rela Negeri Sembilan Naza pula menjadi penghalang pada perlawanan akhir malam ini.

Cukup memeritkan luka yang tercalar di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan akhir tahun lalu apabila jaringan hatrik Bambang Pamungkas meleburkan impian Perlis mendakap Piala Malaysia buat kali kedua.

Lebih perit lagi kesempatan untuk menjulang Piala FA musim ini turut mengecewakan apabila tewas kepada Pahang 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kesempatan dengan satu halangan yang perlu dilalui dengan rekod cemerlang mara ke akhir buat kali ketiga berturut-turut sejak 2004, menghadirkan dendam membara mahu menebus kehampaan tahun lalu.

Pengalaman itu membuatkan pemain skuad Singa Utara semakin matang dan mampu menyerap tekanan apa lagi dengan pekik sorak penonton yang dijangka lebih memihak kepada NS Naza.

Buat jurulatih skuad Singa Utara, Abdul Rahman Ibrahim, kebangkitan pasukan bimbingannya mara tiga kali ke perlawanan akhir sudah menggambarkan kekuatan sebenar Perlis.

‘‘Negeri kecil, pasukan kerdil tetapi mampu melangkah ke akhir sebanyak tiga kali, ini membuktikan keupayaan sebenar kami.

‘‘Pengalaman tiga kali tetapi hanya sekali muncul juara pada 2004 sudah cukup mematangkan pemain dan perlawanan akhir esok (hari ini) tidak mengundang masalah buat saya dan pemain,’’ ujarnya, semalam.

Abdul Rahman jelas tidak merasa tertekan dengan kelibat NS Naza selaku juara Liga Super tampil dan memasang impian untuk menamatkan kemarau 58 tahun tidak bergelar juara.

Buat bekas jurulatih kebangsaan itu, prestasi konsisten sejak 2004 itu menyakinkan beliau bahawa Perlis berpeluang membawa pulang semula Piala Malaysia ke bumi Perlis.

Abdul Rahman tidak menafikan gandingan mantap Zachariah Simukonda dan Philimon Chepita menjadi pertaruhan utama Perlis untuk mengekang NS Naza daripada pulang bergelar juara.

Biar apa sekalipun cara pertahanan NS Naza akan membayangi kelibat dua pemain dari Zambia itu, Abdul Rahman berkata, tiada yang dapat menghalang ayam tambatan Perlis untuk mencipta jaringan.

‘‘Banyak sudah saya dengar pertahanan lawan hendak menyekat Chepita dan Simukonda tetapi mereka masih dapat menjaringkan gol,’’ ujarnya.

Lega dengan prestasi konsisten gandingan ampuh dari Zambia itu tetapi beliau amat terkilan tidak dapat menyenaraikan tonggak pertahanan kiri, Shariman Che Omar.

Ketiadaan pemain tersebut, kata Abdul Rahman, ia tidak sama sekali menjejaskan rentak Perlis untuk menewaskan NS Naza dan membawa pulang Piala Malaysia.

Sementara itu, selepas tiga tonggak muncul pemenang dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Negara kelmarin, keceriaan NS Naza mahu diteruskan untuk menjulang Piala Malaysia malam ini.

Selain dinobatkan selaku juara Liga Super musim ini, NS Naza mahu melengkapkan tahun 2006 dengan penuh gilang gemilang dengan syarat menewaskan Perlis dalam perlawanan akhir Piala Malaysia Edisi ke-38 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Misi paling utama kesebelasan utama NS Naza ialah menamatkan kemarau 58 tahun menjulang piala berprestij yang kali terakhir mereka ditabalkan selaku juara pada 1948.

Kemarau berpanjangan membuatkan anak didik jurulatih K. Devan turun dengan semangat paling tinggi untuk membawa piala keramat itu pulang seperti yang dilakukan pada 1948 apabila menewaskan Selangor 2-1 pada perlawanan akhir.

Namun, pentas final malam ini jelas tidak sama seperti yang berlaku 58 tahun lalu tetapi penampilan kali ini jelas berbeza mahu menyekat Perlis dari pulang bergelar juara.

‘‘Impian pemain dan seluruh rakyat Negeri Sembilan amat tinggi agar kami membawa pulang Piala Malaysia selepas 58 tahun.

‘‘Impian yang amat tinggi buat kami tetapi melihat kesungguhan pemain hingga layak ke akhir, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh bergelar juara,’’ ujar jurulatih, K. Devan.

Beliau nyata tidak gentar dengan kelibat skuad Singa Utara apa lagi dengan rekod cemerlang mereka layak sebanyak tiga kali dalam perlawanan akhir.

Ujarnya, kesebelasan utama dapat diturunkan melainkan pemain bek kanan, Abdul Rahman Sabul yang digantung perlawanan.

Situasi itu, katanya, tidak menjejaskan rentak NS Naza untuk mengimbangi setiap posisi Perlis yang jelas bergantung harapan kepada gandingan serangan ampuh Philimon Chepita dan Zachariah Simukonda.

Keyakinan menebal di kalangan pemain kata Devan membuatkan beliau dapat merasakan malam ini bakal menjadi milik NS Naza.

‘‘Perlawanan malam esok (malam ini) jelas berbeza namun pemain saya sudah cukup bersedia dari segi mental dan fizikal.

‘‘Walaupun hanya tiga pemain yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir rasanya pemain tidak akan berasa kekok,’’ ujar jurulatih itu lagi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4qCowFHGf
© Utusan Melayu (M) Bhd

NS Naza, Perlis ke final



 
ARKIB : 10/09/2006
NS Naza, Perlis ke final
Penjaga gawang Perlis, Tay Sin Kiat (kanan) berjaya menepis bola dalam cubaan penyerang-penyerang Perak menjaringkan gol dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. – Gambar HANAFI KHAMIS.

KUALA LUMPUR - Dua musuh utama Negeri Sembilan Naza dan Perlis bakal membuat perhitungan untuk menentukan juara Piala Malaysia musim ini apabila mengatasi lawan masing-masing pada saingan separuh akhir kedua, malam tadi.

Buat NS Naza yang kali terakhir menjulang kejuaraan piala paling berprestij itu pada 1948, mengharungi laluan mudah berbanding Perlis yang diheret hingga ke masa tambahan sebelum mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir, Sabtu ini.

NS Naza tidak menghadapi sebarang laluan getir apabila mudah menewaskan Telekom Melaka 2-0 hasil jaringan dua bintang import mereka Christian Bekamenga dan Buston Brown.

Dua permata hitam Perlis, Philimon Chepita dan Zachariah Simukonda menjadi pemusnah apabila dua gol mereka membantu Singa Utara memahatkan kemenangan 2-1 menyingkirkan Perak.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka dua gol jaringan Bekamenga dan Brown memastikan kemenangan paling manis buat juara Liga Super, NS Naza menewaskan Telekom Melaka 2-0.

Dua jaringan Bekamenga pada minit ke-17 dan Brown pula menyusul di minit ke-51 meleburkan impian Telekom Melaka yang bercita-cita ingin mengikut jejak langkah MPPJ yang muncul juara pada 2003.

Skuad yang diterajui oleh jurulatih K. Devan mara menerusi agregat 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1 pada saingan separuh akhir pertama minggu lalu.

Kemenangan itu sekali gus mengetepikan impian tinggi Telekom Melaka yang berhajat ingin beraksi dalam perlawanan akhir.

Buat NS Naza kali terakhir mereka melangkah ke perlawanan akhir pada tahun 2000 dan menjulang piala berprestij itu pada 1948.

Di Stadium Perak pula, gol kemenangan jaringan Simukonda pada minit ke-101 di masa tambahan memastikan kemaraan kedua berturut-turut Perlis apabila mengalahkan Perak 2-1.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat 90 minit memaksa perlawanan diheret hingga ke masa tambahan.

Namun pada minit ke-101 menjadi jarak pemisah buat Perlis melangkah ke akhir apabila Simukonda mudah menguis bola masuk dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Perak.

Perak membuka jaringan menerusi rembatan kencang Wong Sai Kong pada minit ke-76 sebelum Perlis menyamakan kedudukan hasil tandukan kencang Philimon Chepita pada minit ke-84.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4qCN4EgTI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 4 Ogos 2017

Perak buat Perlis hampa


 

ARKIB : 03/09/2006
PENYERANG Perlis, Zachariah Simukonda (terbaring) disekat oleh pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal (tengah) dalam perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Utama Kangar, malam tadi. Perlis dan Perak seri 0-0.

KANGAR – Naib juara musim lalu, Perlis gagal mengggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar terikat 0-0 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Utama Kangar, malam tadi lapor Metra Syahril Mohamad.

Gandingan mantap Philimon Chepita dan Zachariah Simukonda jelas tumpul untuk mencipta jaringan apabila rangkaian benteng pertahanan Perak bijak mengekang setiap gerakan dua pertama hitam Perlis itu.

Malah, Perak yang mengharapkan sentuhan Keita Mandjou dan Abdolaye Trarore juga turut hampa untuk menembusi pertahanan Perlis.

Kehadiran kira-kira 25,000 penonton yang dikuasai sepenuhnya oleh penyokong skuad Singa Utara nyata tidak mampu menyuntik kekuatan Perlis akur tanpa kelebihan jaringan sebagai bekalan apabila berkunjung ke Stadium Perak, Sabtu depan.

Tekanan kini buat Perlis bertandang ke tempat lawan apabila menyedari Perak cukup ampuh bermain di tempat sendiri.

Sebaik babak bermula, jelas menyaksikan penguasaan penuh skuad Singa Utara menerusi gandingan Chepita dan Simukonda sering memberi ancaman di benteng pertahanan Perak.

Perlis memperoleh peluang pada minit-minit awal perlawanan namun percubaan Azlan Ismail untuk memperoleh gol gara-gara kesilapan pertahanan Perak, gagal disempurnakan.

Azlan sekali lagi mencuri perhatian kira-kira 25,000 penonton pada minit kelapan menerusi sepakan kencang jarak jauh tetapi tersasar ke kanan gawang lawan.

Pada minit ke-26, Azlan menggamatkan Stadium Utama apabila meledakkan jaringan pembukaan, namun gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid.

Tersentak dengan percubaan Azlan itu, penyerang Perak, Wong Sai Kong kemudiannya bergerak mengatur strategi tetapi percubaannya pada minit ke-36, gagal menepati sasaran.

Sebaik babak kedua bermula, Perlis terus menggandakan asakan mencari gol pembukaan tetapi sukar menembusi benteng ampuh Perak.

Pada minit-minit akhir Perlis terlepas peluang keemasan untuk memecah kebuntuan jaringan gol apabila sepakan kencang Chepita terkena tiang gol.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4omf4EMj9

© Utusan Melayu (M) Bhd