Khamis, 24 Julai 2014

Bojan uji simpanan

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Kelibat pemain simpanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang sering memanaskan bangku simpanan pada saingan Liga Super bakal ditonjolkan pada perlawanan Kumpulan C kempen Piala Malaysia bermula 13 Ogos.

Perancangan itu memang menjadi percaturan ketua jurulatih Bojan Hodak yang menyaksikan Azizi Mat Rose, Mohd Irfan Fazail dan Kamarul Afiq Kamaruddin diberi peluang beraksi dalam dua aksi persahabatan menentang Kelantan dan JDT II, baru-baru ini.Malah jurulatih Croatia itu memberi jaminan mereka yang mempamerkan aksi terbaik ketika latihan dan persahabatan akan mendapat tempat dalam skuad utama.

“Saya bersikap terbuka dan akan beri peluang kepada semua pemain, tidak kira pernah beraksi dalam kesebelasan utama atau simpanan, asalkan bekerja keras, mereka akan kekal dalam pasukan utama.“Ada beberapa kelemahan dikesan pada 30 minit pertama dan menghampiri penghujung perlawanan, aksi mereka terus longgar kerana kepenatan.“Begitupun saya akui kita berlatih dalam bulan puasa dan faktor kepenatan memang menjejaskan, namun ia bersifat sementara sebelum pemain kembali berada di tahap memuaskan selepas Ramadan berakhir,” katanya.Pada perlawanan itu, beliau menurunkan Mohd Irfan sepanjang 90 minit bagi memastikan pemain itu diberi pendedahan aksi tempoh perlawanan sebenar.


“Saya sengaja tidak keluarkan Irfan kerana mahu lihat tahap permainannya mengawal posisi tengah dan jelas dia memiliki corak permainan menarik, tapi hanya tahap kecergasan belum memuaskan.“Kamarul Afiq yang pulih daripada kecederaan selepas setahun tidak beraksi turut mempamerkan aksi konsisten di benteng pertahanan walaupun hanya turun buat kali kedua ketika menentang Kelantan, baru-baru ini,” kata Hodak.


Artikel ini disiarkan My Metro pada : 2014/07/24

Selasa, 22 Julai 2014

Terengganu tak rela tersingkir awal

 
TERENGGANU tidak rela tersingkir awal pada kempen Piala Malaysia 2014 yang akan membuka tirainya pada 13 Ogos nanti.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (gambar) berkata, skuad Terengganu kini sedang bekerja keras untuk meningkatkan keupayaan serta tahap kecergasan pemain.

"Kita berharap satu piala, terutamanya Piala Malaysia dapat di bawa pulang ke bumi Terengganu tahun ini selepas kali terakhir muncul juara pada tahun 2001,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif PBSNT di Kuala Terengganu semalam.

Wan Ahmad Nizam berkata Terenggganu yang berada dalam kumpulan B bersama-sama Perak, Kedah dan Sarawak akan memulakan kempen di gelanggang lawan.

Katanya, Terengganu akan turun menentang Sarawak pada 14 Ogos di Kuching diikuti Kedah di Alor Setar pada 20 Ogos sebelum melayan kedatangan Perak di Kuala Terengganu pada 23 Ogos.

Beliau berkata, walaupun pasukan-pasukan yang berada dalam Kumpulan B itu hebat-hebat belaka namun Terengganu yakin dapat menghadapinya dengan baik.

Dalam rangka persiapan menghadapi kejohanan berprestij itu, Terengganu akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Kelantan di Kota Bharu esok dan dan Felda United di Kuala Terengganu pada 6 Ogos nanti.

SUMBER-KOSMO ONLINE 22.7.14

PDRM tetap ada kelebihan - Muslim

 
ASHFAQ Ali (kanan) antara pemain yang perlu diawasi dalam skuad PDRM.

KAPTEN skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Muslim Ahmad tetap yakin dengan kemampuan pasukan mereka menjelang kempen Piala Malaysia 2014 yang akan bermula bulan depan.

PDRM diundi dalam Kumpulan D bersama Selangor, Sime Darby dan T-Team.

Muslim mengakui tiga pencabar mereka dalam kumpulan tersebut tidak begitu mengetahui gaya permainan sebenar Sang Saka Biru yang merupakan wakil tunggal daripada Liga Premier dalam saingan Kumpulan D.

"Selangor perlu diberikan tumpuan lebih dalam kumpulan ini tetapi sejujurnya, semua pasukan memiliki kelebihan tersendiri.

"Mungkin kelebihan kami kerana PDRM beraksi dalam Liga Premier dan yang lain semuanya daripada Liga Super. Jadi mereka tidak begitu arif dan mengenali cara permainan kami.

"Ia boleh menjadi kelemahan kepada kami kerana secara tidak langsung kami juga tidak mengetahui cara mereka tetapi tidak mustahil PDRM mampu melangkah jauh dalam kempen Piala Malaysia," katanya kepada Kosmo! semalam.

Bekas pemain pertahanan Johor Darul Takzim (Johor DT) itu tetap menghormati ketiga-tiga pasukan daripada Liga Super itu kerana baginya, setiap pasukan berpeluang melakar kejutan.

Muslim juga yakin rakan sepasukannya yang lain tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik pada kempen kali ini biarpun PDRM kini sudah tidak dikendalikan oleh Dollah Salleh yang dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.

"Bagi saya tiada pasukan pilihan dalam Kumpulan D sebab semua pasukan memiliki kekuatan seimbang.

"Jadi apa yang penting kami perlu menghormati semua pasukan dan jangan sesekali ambil mudah setiap cabaran pihak lawan.

"Sebagai pemain kami akan melakukan yang terbaik dan mengikut setiap peraturan dan perancangan yang ditetapkan bagi memastikan PDRM meraih kejayaan," jelasnya.

Sang Saka Biru akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Pahang hari ini dan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Jumaat sebelum memulakan kempen Piala Malaysia pada 13 Ogos nanti.

SUMBER-KOSMO ONLINE 22.7.14